Wn/ms/Singapore Airlines tawarkan pampasan sehingga RM118,000 atas insiden gangguan gelora udara
11 Jun 2024 (Selasa)
Penumpang yang terkesan dengan insiden gangguan gelora udara bulan lalu ditawarkan dengan pampasan sehingga $25,000 (RM118,000), demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat penerbangan Singapore Airlines menerusi hantaran di Facebook rasminya tadi.
"Singapore Airlines (SIA) memohon maaf kepada semua penumpang atas pengalaman buruk menerusi penerbangan SQ321 pada 20 Mei 2024. Kami komited dalam menawarkan sokongan penuh dan bantuan pada masa ini," kata SIA. "SIA boleh mengesahkan bahawa kami telah menghantar tawaran pampasan kepada penumpang yang terlibat pada 10 Jun 2024."
SIA menambah, penumpang yang mengalami kecederaan ringan akibat daripada insiden itu ditawarkan pampasan sebanyak $10,000. Bagi penumpang yang mengalami kecederaan yang lebih serius, SIA berkata mereka mengalu-alukan perbincangan lanjut bersama penumpang tentang jumlah pampasan yang memenuhi keperluan mereka.
"Penumpang yang telah dinilai dari segi perubatan sebagai mengalami kecederaan serius, memerlukan rawatan jangka panjang dan memerlukan bantuan kewangan ditawarkan dengan bayaran pendahuluan sebanyak $25,000 bagi memenuhi keperluan segera mereka."
Selain itu, SIA juga akan membuat pembayaran balik tiket penerbangan bagi kesemua penumpang yang menggunakan penerbangan SQ321 yang terkesan dengan insiden itu, termasuklah kepada penumpang yang tidak mengalami sebarang kecederaan. Setakat ini, tiada maklumat mengenai bentuk pampasan yang ditawarkan kepada krew yang terlibat.
Pada Mei, Wikiberita melaporkan mengenai insiden gangguan gelora udara yang berlaku pada pesawat SQ321 semasa ia dalam perjalanan dari London ke Singapura. Setibanya di Lembangan Irrawaddy, Myanmar pesawat itu dikatakan mengalami perbezaan tekanan udara yang ketara menyebabkan ramai penumpang tercampak dari tempat duduk mereka. Pesawat kemudian dilencongkan ke Bangkok dan meminta pendaratan kecemasan daripada petugas kawalan trafik udara.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Singapore Airlines offers US$10,000 to SQ321 passengers who suffered 'minor injuries' " — CNA, 11 Jun 2024
- (Inggeris) Dylan Butts. " Singapore Airlines offers compensation of at least $10,000 to passengers of turbulence-hit flight " — CNBC, 11 Jun 2024
- (Inggeris) " Singapore Airlines offers compensation to passengers on flight hit by severe turbulence " — ABC, 11 Jun 2024