Wn/ms/Tujuh stesen baharu di Jajaran Thomson-East Coast (TEL) mula dibuka kepada umum
23 Jun 2024 (Ahad)
Tujuh stesen baharu di Jajaran Thomson-East Coast (TEL) mula beroperasi hari ini. Laluan sepanjang 10.8 kilometer itu meliputi Stesen Tanjong Rhu, Katong Park, Tanjong Katong, Marine Parade, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore.
Upacara perasmian pembukaan jajaran fasa keempat itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Jumaat. Menurutnya, dengan pembukaan TEL4 itu ia memudahkan rakyat Singapura berkunjung ke bahagian timur negara itu dan menikmati kemudahan yang ditawarkan di sana. "Sebagai contoh, kini lebih mudah untuk ke Taman East Coast dan menikmati kemudahan dan fasiliti yang terdapat di sekeliling taman serta mengunjungi pantai," katanya.
Setakat ini 27 stesen daripada 32 yang dirancang telah memulakan operasi bagi jajaran TEL, dengan dua lagi stesen; Bedok South dan Sungei Bedok dijangka siap menjelang 2026 menerusi fasa kelima (TEL5). Manakala, Stesen Founder's Memorial pula akan dibuka apabila memorial itu siap pada 2028.
Tambah Wong, kerajaan sedang merancang untuk membina sambungan jajaran TEL ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, di mana ia dijangka siap pada pertengahan 2030 di samping pembukaan Terminal 5 baharu. "Apabila jajaran TEL siap sepenuhnya, rangkaian tren kita akan menghubungkan rakyat Singapura dari kediaman mereka ke dunia luar. Di bahagian timur, ia disambung ke lapangan terbang manakala di bahagian utara pula ia disambung ke Jajaran Rapid Transit System Link (RTS) Johor Bahru-Singapura."
Seorang rakyat berkongsi pengalamannya menaiki tren melalui TEL4 kepada media Berita MediaCorp berkata, "Akhirnya ia siap dan mula beroperasi untuk semua penduduk di Marine Parade, di sini. Kami boleh pergi ke banyak kawasan di Singapura dengan perkhidmatan tren TEL ini."
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "7 stesen baharu MRT di Laluan Thomson-East Coast mula beroperasi" — Berita MediaCorp, 23 Jun 2024
- (Inggeris) Lee Li Ying. " Seven MRT stations on TEL open for passenger service " — The Straits Times, 23 Jun 2024
- (Inggeris) " PM Lawrence Wong at the Opening of Thomson-East Coast Line Stage 4 (Jun 2024) " — PMO Singapura, 21 Jun 2024
- (Inggeris) Rachel Yohannan. " 7 new Thomson-East Coast Line MRT stations will officially open this Sunday, June 23 " — Time Out, 21 Jun 2024