Jump to content

Wn/ms/Dua lelaki diekstradisi ke Singapura, dipercayai ahli sindiket Trojan Spymax

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Dua lelaki diekstradisi ke Singapura, dipercayai ahli sindiket Trojan Spymax

17 Jun 2024 (Isnin)

Dua lelaki rakyat Malaysia ditahan polis pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan atas talian dikenali sebagai Trojan Spymax. Mereka telah diekstradisi ke Singapura bagi menghadapi pertuduhan di sana.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dua lelaki itu telah ditahan secara berasingan di Pulau Pinang dan Johor dalam satu operasi yang dijalankan dengan kerjasama pasukan JSJK, INTERPOL dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

"Mereka berdua disyaki ahli kepada sindiket Trojan Spymax yang bergerak secara aktif melakukan penipuan di peringkat antarabangsa di rantau Asia, terutamanya di Singapura," katanya menerusi kenyataan. "Mereka dipercayai terlibat dalam penjualan perisian hasad serta menguruskan pelayan yang disewa bagi tujuan penyimpanan fail pemasangan di Android (.apk)."

Menurut Ramli, sindiket itu memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui rangkaian media sosial dan pengguna yang berminat perlu memasang fail .apk itu ke dalam telefon pintar Android mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian tersebut.

"Fail .apk itu bersifat hasad dan boleh menggodam peranti mangsa. Apabila dipasang ia membolehkan sindiket memintas mesej yang mengandungi kata laluan sekali guna (OTP), melakukan skrin penduaan (mirroring), mengakses senarai panduan telefon dan mengawal peranti mangsa dari jauh," tambahnya lagi.

Pihak polis juga percaya hasil kerjasama dengan agensi-agensi melalui operasi itu, infrastruktur serta pengoperasian sindiket melalui penyebaran fail .apk di rantau ini juga telah berjaya dilumpuhkan.

Sementara itu, SPF menerusi kenyataan berkata kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 27 dan 48 tahun itu telah diekstradisi dari Malaysia bagi menghadapi pertuduhan atas dakwaan pengubahan komputer secara haram. Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$50,000 (RM173,500) atau kedua-duanya sekali.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog