Wn/ms/Sabah ambil alih pengurusan sisa berjadual dari Persekutuan bermula Januari 2026
29 Ogos 2024 (Khamis)
KOTA KINABALU - Pengurusan sisa buangan berjadual akan diambil alih Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar berkuat kuasa Januari 2026. Pada ketika ini, ia dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di peringkat persekutuan.
Pengambilalihan pengurusan itu adalah selaras dengan penurunan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), demikian menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.
"Perkara ini sudah dipersetujui semasa mesyuarat kabinet Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 21 Ogos," katanya menerusi kenyataan. "Ia merupakan sebahagian daripada penurunan kuasa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan alam sekitar."
Tambahnya, beberapa tindakan telah mula dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, termasuklah menyediakan pelan pengurusan sisa buangan berjadual untuk seluruh Sabah, membangunkan sistem pemantauan pengurusan sisa berjadual secara atas talian dan mempertingkatkan kapasiti jabatan dengan sokongan penuh daripada JAS.
Dari segi perundangan, Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 akan dipinda, selain menggubal perundangan subsidiari berkaitan sisa berjadual.
Jelasnya, perkara yang termaktub dalam MA63 berkaitan alam sekitar akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengurusan sisa buangan berjadual.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Sabah ambil alih kuasa pengurusan buangan terjadual berkuat kuasa 2026" — Astro Awani, 29 Ogos 2024
- (Inggeris) Stephanie Lee. " Sabah to manage its own scheduled waste by 2026 " — The Star, 28 Ogos 2024
- (Inggeris) " Sabah to take over scheduled waste management from Jan 2026 " — FMT, 28 Ogos 2024