Wn/ms/Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hasutan, minta dibicarakan
27 Ogos 2024 (Selasa)
GUA MUSANG - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan yang menyentuh elemen 3R semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 14 Ogos lalu.
Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nik Tarmizie Nik Shukri, namun beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Dalam ucapannya semasa berkempen di Felda Perasu, Gua Musang, beliau mendakwa telah memiliki sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan, namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong (beliau tidak menyebut nama Agong tersebut) pada ketika itu untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 sementara 4 November ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Cara Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, Azlina Rasdi, Nadia Izhar, Nor Hamizah Ghazali dan Shahril Ramli. Bekas Perdana Menteri itu diwakili lima peguam terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mariana Mat Kudin dan Nasir Abdullah.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Untuk rekod, sebanyak 29 laporan polis telah dibuat atas ucapan Presiden PN itu yang menyentuh elemen 3R (Raja) selain mendapat kemurkaan dari Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, parti Perikatan Nasional yang diterajui beliau memperoleh 74 kerusi parlimen manakala Pakatan Harapan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memperoleh 82 kerusi.
Disebabkan tiada satu pakatan yang memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu, Al-Sultan Abdullah menggunakan kebijaksanaan baginda mengadakan beberapa siri perbincangan dan perjumpaan sebelum melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) Nor Fazlina Abdul Rahim, Paya Linda Yahya. "Sebab Muhyiddin dituduh menghasut" — Berita Harian, 27 Ogos 2024
- (Inggeris) " Muhyiddin claims trial to sedition charge " — FMT, 27 Ogos 2024
- (Inggeris) " Muhyiddin pleads not guilty to sedition charge over ‘3R’ remarks during Nenggiri campaign " — Malay Mail, 27 Ogos 2024