Wn/ms/Ronaldo kecewa, Al Hilal rangkul kejuaraan Piala Raja Saudi
01 Jun 2024 (Sabtu)
Al Hilal merangkul kejuaraan Piala Raja buat kali kedua berturut-turut setelah menewaskan pasukan Al Nassr menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan jaringan 5-4. Kemenangan itu juga menyaksikan Al Hilal memenangi piala ketiga pada musim ini selepas mereka menjadi juara Liga Pro Saudi dan memenangi Piala Super Saudi sebelum itu.
Al Nassr memiliki peluang cerah untuk berada di hadapan menerusi percubaan Sadio Mane seawal minit ke-6, namun rembatan jarak dekatnya tersasar. Seminit kemudian, Al Hilal berjaya membuka jaringan menerusi penyerang Aleksandar Mitrovic apabila dia menanduk bola masuk ke jaring gol hasil hantaran lintang dari kiri yang disudahkan Malcom. Keputusan kekal 1-0 untuk Al Hilal selepas separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Al Nassr menggandakan usaha bagi mendapatkan jaringan, menerusi percubaan Cristiano Ronaldo pada minit ke-48 namun sepakannya hanya menerjah ke tiang gol. Minit ke-88, pemain Arab Saudi Ayman Yahya berjaya membuka jaringan untuk Al Nassr hasil dari balingan jarak jauh. Tiada gol tambahan dijaringkan kedua-dua pasukan memasuki permainan masa tambahan dan kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Perlawanan itu juga menyaksikan tiga pemain; dua dari Al Nassr dan seorang pemain dari Al Hilal diarah keluar padang. David Ospina dari Al Nassr dilayangkan kad merah pada minit ke-56 setelah dia memegang bola di luar kawasan penalti. Dua pemain pertahanan Al Hilal, Ali Al-Bulaihi dan Kalidou Koulibaly diarah keluar padang masing-masing pada minit ke-87 dan minit ke-90 atas kekasaran yang dilakukan kepada pemain lawan.
Berakhirnya perlawanan akhir itu bermakna musim bola sepak 2023/2024 di Arab Saudi secara rasminya berakhir. Beberapa pemain Eropah dan Amerika Selatan akan pulang bersama pasukan negara masing-masing untuk persiapan menghadapi kejohanan UEFA EURO 2024 dan Copa America 2024.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Patrick Rowe. "A lucky escape for Al-Hilal! Cristiano Ronaldo's Al-Nassr beaten to another trophy on penalties despite rivals’ incredible collapse in feisty King’s Cup final that saw three players sent off" — Goal.com, 1 Jun 2024
- (Inggeris) John Duerden. "Al-Hilal defeat Al-Nassr to lift King’s Cup after penalty shootout leaves Ronaldo in tears" — Arab News, 1 Jun 2024
- (Inggeris) "Cristiano Ronaldo in tears as Al Nassr lose King's Cup final" — ESPN, 31 Mei 2024