Jump to content

Wn/ms/A.S. sambung semula jual senjata kepada Arab Saudi, mahu konflik Gaza diselesaikan

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > A.S. sambung semula jual senjata kepada Arab Saudi, mahu konflik Gaza diselesaikan

13 Ogos 2024 (Selasa)

WASHINGTON - Amerika Syarikat mengesahkan mereka akan menamatkan larangan penjualan senjata kepada Arab Saudi dalam usaha memainkan peranan penting bagi menyelesaikan konflik yang tercetus di Gaza.

Keputusan itu dibuat selepas lebih tiga tahun A.S. menamatkan sokongan kepada operasi ketenteraan di Yaman yang diketuai Arab Saudi atas alasan krisis kemanusiaan. "Arab Saudi telah berada di penghujung perjanjian mereka, begitu juga dengan kami, mengembalikan semula perkara itu (penjualan senjata) seperti biasa melalui amalan notifikasi kepada Kongres sewajarnya dan konsultasi," kata jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel kepada media.

Di bawah undang-undang Amerika Syarikat, perjanjian penjualan senjata melibatkan antara negara perlu dinilai terlebih dahulu oleh ahli Kongres sebelum membuat keputusan akhir. Beberapa sumber memetik penjualan senjata itu akan bermula seawal minggu hadapan manakala ada juga mendakwa proses di belakang tabir masih lagi berjalan.

"Arab Saudi kekal menjadi rakan strategik rapat untuk Amerika Syarikat dan kami berharap untuk mempertingkatkan lagi hubungan itu," tambahnya.

Selepas Joe Biden mengambil alih tampuk pemerintahan A.S pada 2021, satu pendekatan baharu telah dilaksanakan ke atas Arab Saudi yang menekankan aspek hak kemanusiaan. Pada ketika itu juga, Biden mengumumkan hanya senjata jenis "pertahanan" sahaja yang dihantar kepada negara di Timur Tengah itu.

Patel menjelaskan, keadaan geopolitik telah mengalami banyak perubahan apabila tiada lagi serangan baharu direkodkan di antara Arab Saudi dan Yaman susulan perjanjian gencatan senjata pada 2022. Kini, ia menyaksikan serangan dilakukan oleh A.S, Britain dan Israel menyasarkan kumpulan Houthi di Yaman, manakala Arab Saudi tidak masuk campur.

Setiausaha Negara A.S, Antony Blinken kerap melakukan kunjungan ke Arab Saudi bagi membincangkan tawaran insentif sekiranya kerajaan negara itu mengiktiraf kewujudan negara Israel. Walau bagaimanapun, Arab Saudi berpendapat mereka hanya akan bertindak sekiranya terdapat kemajuan dalam isu pengiktirafan negara Palestin.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog