Jump to content

Wn/ms/Pernah digelar manusia paling berat, lelaki ini hilang lebih 500kg hasil bantuan Raja Arab Saudi

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Pernah digelar manusia paling berat, lelaki ini hilang lebih 500kg hasil bantuan Raja Arab Saudi

14 Ogos 2024 (Rabu)

RIYADH - Seorang lelaki dari Arab Saudi tidak akan menyangka masalah berat badan berlebihan yang boleh meragut nyawanya dapat diselesaikan dengan bantuan dari keluarga diraja.

Khalid bin Mohsen Shaari, memiliki berat badan sebanyak 610 kilogram pada 2013 dan pernah diiktiraf sebagai manusia paling berat sekali hanya mampu terbaring di atas katil. Oleh kerana beratnya yang melampau, dia tidak mampu bergerak serta mengharapkan bantuan daripada keluarga dan rakan bagi memenuhi keperluannya.

Kisah Khalid itu mendapat perhatian Raja Abdullah yang pada ketika itu merupakan Raja Arab Saudi. Baginda menitahkan agar satu rancangan dirangka untuk mengubati Khalid termasuklah pembentukan kumpulan perubatan terdiri daripada 30 doktor profesional. Hasrat baginda ialah membantu Khalid mendapatkan rawatan perubatan terbaik yang ada tanpa sebarang kos.

Disebabkan berat berlebihan, pasukan perubatan terpaksa menggunakan jentera dan katil khas untuk membawa Khalid ke Pusat Perubatan Raja Fahd di Riyadh. Di situ, Khalid menjalani rawatan menyeluruh yang telah dirangka pasukan termasuklah melalui pembedahan pintasan gastrik dan pelan diet bersesuaian dengan keadaannya.

Hasil daripada rancangan itu, berat Khalid hilang sebanyak 542 kilogram pada 2023. Transformasi luar biasa pada bentuk badannya menyebabkan dia terpaksa menjalani beberapa pembedahan melibatkan pembuangan kulit tambahan.

Kini, dengan julat berat normal, Khalid lebih dikenali sebagai "Lelaki Tersenyum", diberikan oleh kakitangan perubatan yang membantunya. Sudah semestinya, manusia yang paling tersenyum ialah Raja Abdullah, walaupun baginda tidak sempat bertemu Khalid versi kurus kerana mangkat pada 2015 namun kemurahan hati, membantu sesama manusia mungkin mendapat ganjaran dari Yang Maha Agung.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog