Wn/ms/Robot Mitsubishi mencatatkan rekod dunia menyelesaikan kiub Rubik
31 Mei 2024 (Jumaat)
Sebuah robot yang dibangunkan sepasukan jurutera dari Mitsubishi Electric Corp (Mitsubishi) memecahkan rekod dunia dengan menyelesaikan Kiub Rubik dalam masa 0.305 saat. Dikenali dengan nama Robot Ujian Gerakan Selari Kepantasan Jitu TOKUI (TOKUFASTbot), robot itu memecahkan rekod dunia sebelumnya yang dicatatkan pada 0.38 saat.
Robot itu dibangunkan dengan menggunakan motor yang dikeluarkan Mitsubishi, di mana mekanisma pusingannya mampu melakukan pusingan sebanyak 90 darjah dalam masa 0.009 saat. Prototaip pembangunan robot itu bermula tahun 2022 oleh lima orang jurutera. Mereka menggunapakai teknologi yang digunakan dalam pemasangan wayar yang tepat dan jitu untuk perkakasan elektrik seperti pendingin hawa dan kipas pengudaraan. Teknologi itu mengaplikasikan penggunaan kamera dan kecerdasan buatan (AI) untuk algoritma pengesanan warna.
“Untuk menunjukkan keupayaan teknikal kami dalam mencapai belitan berkelajuan tinggi, kejituan tinggi, yang merupakan kunci kepada peningkatan produktiviti dan motor yang lebih efisien yang digunakan dalam kebanyakkan produk kami, jurutera-jurutera muda kami secara sukarela bekerja dalam mencipta rekod dunia, hasilnya diiktiraf Guinness World Records, dan memberi motivasi kepada para jurutera untuk membangunkan lagi kemahiran teknikal mereka," kata Yuji Yoshimura, pengarah senior Pusat Kejuruteraan Pembuatan Komponen Mitsubishi Electric.
Menurut Tokui, ketua pasukan dalam percubaan memecah rekod dunia itu, untuk memecahkan rekod dunia, bukan sahaja motor yang lebih pantas diperlukan, namun beberapa komponen lain juga perlu bekerja bersama. "Mencatatkan masa yang lebih pendek merupakan kerja sukar, namun menyeronokkan pada masa yang sama. Saya tidak pernah ada masalah motivasi sepanjang projek ini," katanya.
Sebelum mencatatkan rekod dunia, pasukan jurutera berdepan dengan masalah yang tidak dijangka. Disebabkan robot itu terlalu pantas, kiub Rubik tidak mampu bergerak dengan kepantasan yang sama. Percubaan pertama gagal kerana kiub itu tersekat, namun percubaan kedua robot itu berjaya memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh robot yang dibangunkan pelajar dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada 2018.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Bojan Stojkovski. " Mitsubishi robot solves puzzle cube in a blink of an eye, sets world record " — Interesting Engineering, 26 Mei 2024
- (Inggeris) " Mitsubishi robot sets puzzle cube world record at 0.305 second " — The Asahi Shimbun, 26 Mei 2024
- (Inggeris) Justinas Vainilavičius. " Mitsubishi robot solves Rubik’s Cube in 0.305 seconds " — Cybernews, 29 April 2024
- (Inggeris) Masakazu Senda. " Japanese company's robot solves a puzzle cube in 0.305 seconds to break record " — Guinness World Records, 23 Mei 2024