Jump to content

Wn/ms/Pembangun permainan video "Hi-Fi Rush" tak jadi tutup, diambil alih penerbit PUBG, KRAFTON

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Pembangun permainan video "Hi-Fi Rush" tak jadi tutup, diambil alih penerbit PUBG, KRAFTON

12 Ogos 2024 (Isnin)

Hampir sebulan selepas Microsoft umum penutupan beberapa studio pembangun permainan video dibawahnya, penerbit permainan video PUBG, KRAFTON Inc. tampil dengan mengambil alih Tango Gameworks. Pengambilalihan itu juga merangkumi pemilikan terhadap harta intelek dan permainan video popular, Hi-Fi Rush daripada Microsoft.

KRAFTON Inc. ialah penerbit permainan video dari Korea Selatan
Imej: Krafton Inc..

Menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan di laman rasmi KRAFTON, langkah itu dilihat sebagai strategik bagi mengembangkan syarikat di peringkat global dengan melakukan pelaburan penting dalam pasaran permainan video Jepun buat pertama kali, selain meningkatkan portfolio dengan kandungan yang inovatif dan berkualiti tinggi.

KRAFTON juga berhasrat untuk bekerjasama dengan Microsoft dan ZeniMax bagi memastikan peralihan yang lancar serta mengekalkan kesinambungan di Tango Gameworks. "KRAFTON berhasrat untuk menyokong pasukan Tango Gameworks dalam meneruskan komitmen inovatif mereka dan menawarkan pengalaman segar dan menarik kepada peminat," tambahnya.

Peralihan itu menurut KRAFTON tidak akan memberi kesan kepada katalog permainan video sedia ada seperti Ghostwire: Tokyo, The Evil Within, The Evil Within 2 dan judul asal Hi-Fi Rush yang ditawarkan di beberapa platform.

Untuk rekod, pada Mei, Microsoft mengumumkan penutupan beberapa studio pembangun di bawah Bethesda, termasuklah Tango Gameworks yang terkenal dengan permainan video Hi-Fi Rush. Permainan itu merekodkan sejumlah 2 juta pemain selepas sebulan ia dilancarkan dan menerima banyak ulasan positif berkaitan animasi yang sangat menarik serta gaya permainan yang lebih berirama.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog