Wn/ms/Junta Myanmar lepaskan pegawai eksekutif Jepun susulan dakwaan naikkan harga beras
14 Ogos 2024 (Rabu)
YANGON - Seorang pekerja eksekutif rangkaian pasaraya Aeon warga Jepun dibebaskan oleh pihak berkuasa junta Myanmar selepas dia ditahan dan dijatuhi hukuman penjara atas dakwaan melanggar perintah kawalan harga barang dengan menaikkan harga beras.
Hiroshi Kasamatsu, 53 tahun, merupakan seorang pengarah rangkaian pasaraya tempatan Aeon Orange Co. telah ditahan lewat Jun susulan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa junta ke atas kesemua kilang padi dan pasaraya dan menahan seramai 4 pekerja eksekutif termasuklah Kasamatsu atas dakwaan sama.
Pihak berkuasa junta berkata, Kasamatsu telah ditahan kerana menjual beras pada harga sehingga 70 peratus lebih tinggi daripada paras yang ditetapkan pihak berkuasa. Dia telah didakwa pada Ahad dan Kementerian Luar Jepun mengesahkan Kasamatsu telah dijatuhi hukuman penjara selama setahun serta perlu membayar denda sebanyak 500,000 kyat (RM1,060).
Pada Isnin, jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata Kasamatsu telah dibebaskan, tanpa memberi butiran lanjut sama ada dia telah disabitkan kesalahan atau jika dia akan dihantar pulang ke negara asal. Syarikat Aeon juga mengesahkan pembebasan itu namun menolak untuk memberikan penjelasan lanjut.
Namun demikian, tidak diketahui nasib 3 pekerja yang ditahan bersama Kasamatsu di mana kesemua mereka merupakan warga tempatan bekerja di syarikat runcit tempatan oleh kerana jurucakap junta tidak menjelaskan status mereka sama ada dilepaskan atau sebaliknya.
Ini merupakan kali pertama dakwaan dikenakan ke atas pegawai dari syarikat bersekutu Jepun berkaitan aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun Jepun tidak berhasrat untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar berikutan rampasan kuasa yang berlaku pada 2021.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Japan confirms Aeon executive convicted, freed by Myanmar " — Japan Today, 13 Ogos 2024
- (Inggeris) " Japanese Aeon supermarket exec released after conviction in Myanmar " — Kyodo News, 13 Ogos 2024
- (Inggeris) Mari Yamaguchi. " Myanmar releases a Japanese executive after he was convicted for selling rice above set prices " — ABC News, 13 Ogos 2024