Wn/ms/Kumpulan etnik bersenjata Myanmar dakwa kuasai bandar utama di sempadan China
11 Julai 2024 (Khamis)
YANGON - Pejuang etnik minoriti Myanmar mendakwa pada Rabu mereka telah merampas pentadbiran sebuah bandar yang terletak di sepanjang lebuh raya perdagangan utama ke China. Ia setelah menempuh pertempuran sengit menentang pasukan junta tentera selama berhari-hari.
"Bandar Naungcho adalah milik kami sepenuhnya," kata General Tar Bhone Kyaw dari kumpulan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) kepada media AFP. Bahagian utara negeri Shan menyaksikan pertempuran berlaku sejak lewat bulan lepas apabila pakatan kumpulan bersenjata etnik itu memperbaharui serangan terhadap pasukan tentera di sepanjang lebuh raya ke wilayah Yunnan di China.
Bandar Naungcho terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Pyin Oo Lwin yang pernah diduduki penjajah British satu ketika dahulu dan kini dijadikan akademi latihan pegawai elit junta. Terdapat satu lagi jalan dari Naungcho yang menghubungkan ke Taunggyi iaitu ibu negeri Shan.
Negeri Shan yang bersempadan dengan China itu diduduki pelbagai kumpulan etnik bersenjata. Mereka telah bertarung dengan pasukan ketenteraan Myanmar sejak mendapat kemerdekaan dari British pada 1948. Kuasa autonomi dan kawalan terhadap sumber asli yang berharga merupakan faktor mereka memerangi pasukan junta.
AFP bagaimanapun tidak dapat menghubungi jurucakap junta untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan itu.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Myanmar ethnic armed group claims control of town on key highway to China " — The Sun, 10 Julai 2024
- (Inggeris) " Myanmar-China showdown? Ethnic armed group claims control of highway town to China " — WION, 10 Julai 2024
- (Indonesia) "Kelompok Bersenjata Myanmar Klaim Kuasai Kota di Jalur Utama Perdagangan" — VOA Indonesia, 10 Julai 2023