Jump to content

Wn/ms/Pesawat SIA alami masalah teknikal libatkan brek, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Pesawat SIA alami masalah teknikal libatkan brek, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

12 Ogos 2024 (Isnin)

TOKYO - Satu landasan kapal terbang terpaksa ditutup selama 50 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita selepas asap putih dilihat keluar dari pesawat milik Singapore Airlines (SIA) sedang pesawat itu melakukan pendaratan kira-kira pukul 7:38 pagi waktu tempatan.

Laporan awal mendedahkan pesawat Boeing 787-10 dengan nombor pendaftaran SQ638 membawa seramai 260 penumpang dan 16 krew penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Changi tengah malam semalam. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, asap putih dilihat keluar dari enjin sebelah kiri pesawat semasa pesawat membrek bagi mengurangkan kelajuan di landasan.

Jabatan Bomba Bandar Narita menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7:45 pagi dan sebanyak 20 jentera dikejarkan ke lokasi. Menurut bomba, tiada kebakaran dikesan dan mangsa yang tercedera selepas sejam mereka memerhatikan keadaan pesawat.

Susulan daripada insiden itu, Landasan B ditutup buat sementara dan pesawat berkenaan ditunda keluar. Jurucakap pengendali lapangan terbang mendakwa semasa krew penyelenggaraan memeriksa pesawat itu, mereka menemui serpihan tayar di landasan dan tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan insiden itu.

Pasukan kejuruteraan lapangan SIA kemudian telah membaik pulih pesawat itu dengan menggantikan salah satu tayar yang pecah. Mereka mengesahkan terdapat isu teknikal yang melibatkan brek. Landasan dibuka semula kira-kira pukul 8:31 pagi.

Disebabkan insiden itu, pesawat berkenaan terlewat dua jam dari jadual asal untuk penerbangan seterusnya, hanya berlepas dari Jepun ke Singapura pukul 1:28 petang waktu tempatan.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog