Wn/ms/Fumio Kishida umum tarik diri pemilihan Presiden LDP, jawatan PM bakal kosong
15 Ogos 2024 (Khamis)
TOKYO - Rakyat Jepun bakal menyaksikan Perdana Menteri baharu dilantik selepas PM Fumio Kishida mengumumkan beliau tidak berhasrat untuk bertanding semula dalam pemilihan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), sekali gus mengosongkan jawatan nombor satu negara itu.
Bercakap dalam sidang media yang diadakan pada Rabu, beliau akan mengundurkan diri sebagai Presiden LDP pada September atas alasan partinya perlu melakukan proses pembaharuan untuk kekal relevan kepada rakyat. "Di dalam pemilihan presiden ini, kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa LDP sedang melakukan perubahan dan ia akan menjadi parti LDP yang baru," katanya di Pejabat Perdana Menteri.
"Untuk itu, pemilihan yang telus dan terbuka serta debat yang bebas dan bersungguh-sungguh adalah sangat penting. Langkah pertama yang paling jelas untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa LDP akan berubah ialah saya memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan presiden (parti)."
Kishida dipilih sebagai Presiden LDP pada 2021 dan memenangi pilihan raya umum selepas itu. Namun begitu, beliau dibelenggu dengan skandal rasuah antara yang terbesar menyaksikan beberapa menteri dari era Shinzo Abe meletakkan jawatan dan beberapa lagi telah didakwa, selain dikaitkan dengan pemberian dana yang cukup besar kepada organisasi gereja berpengaruh, Unification Church.
Pengumuman mengejut itu dibuat ketika barisan kabinetnya dan agensi kerajaan lain sedang merangka persiapan rapi susulan amaran risiko 'gempa bumi mega' Nankai Trough yang akan berlaku di bila-bila masa sahaja di bahagian barat daya Jepun dikeluarkan Agensi Meteorologi Jepun (JMA) minggu lepas. Beliau turut membatalkan lawatan kerja ke Asia Tengah "sebagai langkah berjaga-jaga".
Di bawah sistem Parlimen Jepun, pemimpin utama parti pemerintah akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan kesemua Perdana Menteri Jepun dilantik datang dari parti LDP. Untuk pemilihan presiden parti pula, LDP perlu mengadakan sesi pemilihan presiden setiap tiga tahun sekali di mana pemilihan seterusnya berlaku pada September.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Tim Kelly, Sakura Murakami. " Japan's Prime Minister Kishida to resign, paving way for new leader " — Reuters, 15 Ogos 2024
- (Inggeris) Satoshi Iizuka. " Kishida set to resign as Japan PM after withdrawing from LDP race " — Kyoto News, 14 Ogos 2024
- (Inggeris) Justin McCurry. " Japan PM Fumio Kishida announces he will step down in September " — The Guardian, 14 Ogos 2024