Jump to content

Wn/ms/Putin sedia berunding gencatan senjata dengan Ukraine

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Putin sedia berunding gencatan senjata dengan Ukraine

28 Mei 2024 (Selasa)

Rencana ini merupakan rencana terjemahan.
Sila lihat rencana asal di Wikiberita bahasa Inggeris dengan tajuk "Russian President Vladimir Putin ready for ceasefire talks with Ukraine" dibawah Perlesenan Creative Commons Attribution 2.5.


Seorang pegawai senior Rusia yang tidak dinamakan berkata Vladimir Putin, Presiden Rusia "sedia untuk melakukan gencatan senjata - menghentikan perang (di Ukraine)." Beberapa sumber juga mengesahkan Putin bersedia untuk menamatkan perang. Ini berlaku di tengah-tengah serangan Rusia di wilayah Donetsk dan Kharkiv.

Di Belarus, Putin meminta rundingan damai diteruskan berkata rundingan itu perlu berdasarkan kepada "realiti masa kini" dan "bukan mengikut kepentingan sebelah pihak." Dmitry Peskov juga menyatakan Rusia ingin mengelak dari berlakunya "perang yang tidak berkesudahan."

Foto fail Vladimir Putin, diambil pada Mac 2024.
Imej: Пресс-служба Президента РФ.

Cadangan gencatan senjata itu, dengan Putin kini menguasai beberapa wilayah di Ukraine, akan membawa kepada sebilangan besar wilayah Ukraine berada dalam kawalan Rusia khususnya di wilayah Kherson, Zaporizhzhia, Donetsk dan Luhansk. Walaupun begitu, rundingan untuk mendapatkan kembali hasil yang diraih di luar medan perang adalah tidak diterima Rusia, membayangkan kesemuanya akan menjadi milik Rusia. Peskov berkata untuk wilayah yang diduduki, yang sebelum itu diilhakkan oleh Rusia, tidak akan dipersoalkan kewajarannya untuk kembali kepada Ukraine.

Rakyat Ukraine dan komuniti antarabangsa rata-ratanya memberikan reaksi negatif terhadap cadangan gencatan senjata itu. Dmytro Kuleba, Menteri Luar Ukraine berkata percubaan gencatan senjata adalah "isyarat palsu" bertujuan untuk mencetuskan masalah kepada sidang kemuncak keamanan yang dijangka diadakan di Switzerland pada musim panas. "Putin sebenarnya tidak ada keinginan untuk menamatkan pencerobohannya ke atas Ukraine," kata Kuleba sambil menambah, "Hanya suara majoriti di peringkat global yang berprinsip dan bersatu sahaja boleh memaksanya untuk memilih keamanan berbanding dengan peperangan."

Volodymyr Zelensky, Presiden Ukraine juga menyatakan terma keamanan yang dikenakan Putin adalah tidak berdaya maju, dan akan mengambil semula kesemua wilayah yang telah diitikraf di peringkat antarabangsa sebagai wilayah Ukraine. Pada tahun 2022, Zelensky menandatangani dekri yang menyatakan rundingan damai dengan Putin adalah "mustahil". Jabatan Negeri berkata, "Rusia boleh menamatkan perang pada bila-bila masa apabila mereka menarik balik operasi ketenteraan dari Ukraine, daripada berterusan melancarkan serangan ganas ke atas bandar, pelabuhan dan rakyat Ukraine setiap hari."

Ramai penganalisis Barat percaya pelantikan Andrei Belousov sebagai Menteri Pertahanan Rusia adalah untuk membawa ekonomi Rusia kekal ke arah peperangan sebagai pendorong untuk memenangi peperangan yang sudah berpanjangan itu. Tambahan pula, terdapat laporan rakyat Rusia mula bergerak ke arah Ukraine beberapa minggu sudah. Pelbagai sumber mendapati terdapat alasan perkara itu berlaku, di mana Putin berpendapat wilayah yang telah dikuasainya itu sudah cukup untuk rakyat Rusia menimbangkan kemenangannya. Sumber lain menyatakan Putin sedar kemaraan pasukannya memerlukan satu lagi mobilisasi besar. Mereka juga menyatakan perkara itu sepatutnya tidak ingin dilakukan Putin, oleh kerana mobilisasi rakyat yang berlaku pada September 2022 sudah cukup menyebabkan kejatuahan ketara ke atas populariti Putin, selain menyebabkan penghijrahan keluar besar-besaran rakyat dari Rusia.

Sumber Rusia lain berpendapat tiada perjanjian diadakan pada masa Zelensky masih lagi menjadi Presiden Ukraine, melainkan Rusia melakukan perjanjian dengan Amerika Syarikat. Walaupun begitu, Antony Blinken, Setiausaha Negara Amerika Syarikat menyatakan dia tidak akan fikir Putin berminat dalam rundingan.