Wn/ms/Tiada liputan Sukan Olimpik 2024 di Rusia sejak 40 tahun - laporan
16 Julai 2024 (Selasa)
Sukan Olimpik 2024 yang diadakan di Paris minggu hadapan tidak akan disiarkan dari mana-mana penyedia saluran televisyen di Rusia, demikian menurut laporan yang dikeluarkan agensi berita sukan tempatan, sports.ru.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, ia berkata siaran sukan terbesar dunia itu tidak akan ditayangkan sama ada di saluran tempatan ataupun menerusi pengstriman adalah atas "keputusan politik". Selain itu, dalam keadaan sekarang, sangat mustahil untuk menyiarkan liputan sukan Olimpik tanpa bendera dan lagu rasmi Rusia.
"Keputusan telah lama dibuat atas sebab politik, ianya mustahil untuk menyiarkan liputan Olimpik tanpa bendera dan lagu rasmi di saluran Channel One dan Rossia 1 dalam realiti sekarang," kata sports.ru. "Jutaan kos terpaksa dibelanjakan untuk hak penyiaran bagi membuat liputan terhadap 15 atlet yang bertanding dalam sukan yang kurang popular (kecuali tenis) dianggap sebagai pembaziran wang dan tenaga kerja yang tidak perlu."
Pada 2022, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melarang Rusia menyertai kejohanan itu, susulan pencerobohan ke atas Ukraine. Untuk edisi kali ini, hanya 16 atlit Rusia memilih untuk menyertainya di bawah kibaran bendera neutral Olimpik, berbanding 330 atlit yang terlibat dalam sukan Olimpik di Tokyo empat tahun lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Rusia tidak menyiarkan liputan sukan Olimpik ialah semasa edisi tahun 1984. Pada ketika itu, Soviet Union memboikot edisi yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat berikutan boikot Amerika Syarikat terhadap Olimpik pada edisi 1980 di Moscow kerana protes terhadap pencerobohan Soviet di Afghanistan.
Pegawai Rusia setakat ini tidak mengesahkan atau menafikan laporan dari media itu.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Russia Will Not Broadcast Paris Olympics – Reports " — The Moscow Times, 16 Julai 2024
- (Rusia) Владимир Иванов. "Впервые за 40 лет Олимпиаду не покажут по ТВ. А где тогда ее смотреть?" — sports.ru, 14 Julai 2024
- (Inggeris) " Russia decides not to broadcast the Olympics for the first time in 40 years " — Novaya Gazeta, 14 Julai 2024