Wn/ms/Racun pihak lawan guna merkuri, taktik kotor pemain catur dirakam kamera litar tertutup
9 Ogos 2024 (Jumaat)
MOSCOW - Seorang pemain catur profesional Rusia bakal berdepan dengan hukuman penjara selepas dia didakwa cuba meracun pihak lawannya dalam Kejohanan Catur Dagestan di Makhachkala pada Jumaat. Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup dan tular di media sosial.
Amina Abakarova, 40 tahun, didakwa cuba meracuni Umayganat Osmanova, 30 tahun dengan menggunakan cecair dipercayai merkuri yang digunakan dalam termometer. Rakaman video menunjukkan Abakarova berjalan menuju ke meja di mana Osmanova akan berada dan menyapu cecair berkenaan di papan dan beberapa buah catur.
Sejurus permainan bermula, Osmanova mengadu rasa kepeningan dan loya tekak dan dikejarkan ke hospital berdekatan. Doktor kemudian mengesahkan keracunan mungkin punca kepada gejala yang dialaminya. Seorang juri kejohanan membuat laporan polis dan Abakarova diberkas sementara menunggu pendakwaan.
Persekutuan Catur Rusia (RSF) berkata mereka sedang mempertimbangkan perintah larangan seumur hidup sekiranya Abakarova didapati bersalah. "Kami sedang menunggu maklumbalas siasatan daripada pihak berkuasa," kata Pengarah Eksekutif RSF, Alexander Tkachyov. "Jika pemain itu didapati bersalah, reaksi kami tentunya keras, berkemungkinan larangan seumur hidup."
Laporan media tempatan kemudian mendedahkan motif sebenar di sebalik kejadian itu adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana Osmanova pernah mengalahkannya dalam kejohanan catur sebelum itu. Selain itu, Abakarova mendakwa Osmanova melemparkan kata-kata yang tidak baik terhadapnya dan saudara-mara.
Walaupun berdepan detik cemas, Osmanova dilaporkan pulih dan meneruskan kejohanan, di mana dia berjaya merangkul tempat kedua dan memenangi hadiah. Abakarova pula disingkirkan selepas pusingan keempat.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Rimjhim Singh. " Chess scandal: Russian champion caught poisoning opponent with mercury " — Business Standard, 9 Ogos 2024
- (Inggeris) TarjeiJS. " Chess Player Suspended After Allegedly Poisoning Her Rival " — Chess.com, 8 Ogos 2024
- (Inggeris) " Russian chess player may be banned for life after trying to poison opponent " — Tass.ru, 7 Ogos 2024
- (Inggeris) Ayeesha Walsh. " Shocking moment Russian chess star ‘poisons her rival with mercury over personal hostility' " — The Mirror US, 7 Ogos 2024