Jump to content

Wn/ms/Rusia cadang buka pejabat konsulat general di Bali, wujudkan penerbangan terus dari Moscow

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Rusia cadang buka pejabat konsulat general di Bali, wujudkan penerbangan terus dari Moscow

22 Ogos 2024 (Khamis)

JAKARTA - Sebuah pejabat konsulat general Rusia bakal dibuka di Denpasar, Bali dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala Indonesia - Rusia serta terdapat trend peningkatan golongan ekspatriat Rusia yang tinggal di sana, demikian menurut Duta Rusia ke Indonesia, Sergei Tolchenov.

Tolchenov yang baru sahaja memegang jawatan itu sejak dua bulan lalu berkata keputusan telah dibuat kerajaan sejak Julai lalu. "Kerajaan Persekutuan Rusia telah membuat keputusan untuk membuka pejabat konsulat general di Denpasar Bali," katanya menerusi sidang media yang diadakan pada Selasa. "Saya berharap dalam penghujung tahun ini, Konsul General akan melawat Denpasar dan memulakan aktivitinya di sana."

Ujarnya, pembukaan pejabat konsulat di Bali adalah perkara yang penting memandangkan ramai warga Rusia melancong ke kepulauan itu dan ia memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan berkaitan perkhidmatan konsular jika berlaku kecemasan.

Menurut statistik yang dikeluarkan Agensi Perangkaan Pusat Wilayah Bali (BPS), lebih kurang 144,104 pelancong dari Rusia telah melawat Bali sejak Februari tahun ini. Manakala, dianggarkan seramai 40,000 hingga 45,000 warga Rusia tinggal di sana. Sejak tiga tahun lalu, kepulauan Bali menyaksikan peningkatan ketara jumlah warga Rusia yang datang ke Bali.

Tolchenov juga menyentuh mengenai keperluan rancangan membuka laluan penerbangan terus di antara Moscow dan Bali. Beliau optimis syarikat penerbangan Rusia bersedia untuk memulakan operasi penerbangan terus itu pada September atau Oktober. "Syarikat Rusia telah bersedia untuk memulakan operasi. Jika pihak berkuasa Indonesia boleh menyelesaikan isu teknikal kecil berkaitan penyelenggaraan dan membaik pulih pesawat di Bali, saya yakin laluan penerbangan itu akan dibuka," katanya.

Untuk rekod, beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Denmark, Jerman, Jepun, India, Itali, Malaysia, Perancis, Sweden, Switzerland, Thailand dan United Kingdom mempunyai pejabat konsulat mereka di Bali. Pejabat konsulat biasanya berfungsi untuk membantu warganegara mereka berkaitan dengan imigresen dan ia juga dijadikan sebagai lokasi utama rujukan jika berlakunya situasi kecemasan.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog