Jump to content

Wn/ms/Peraturan produk vape diperketatkan di Australia, hanya boleh didapati di farmasi

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Peraturan produk vape diperketatkan di Australia, hanya boleh didapati di farmasi

3 Julai 2024 (Rabu)

Tiada lagi penjualan rokok elektronik atau vape serta alatannya di kedai-kedai biasa di Australia bermula 1 Julai. Undang-undang berkaitan penjualan vape mula dikuatkuasakan oleh kerajaan Australia dan produk itu hanya boleh didapati di farmasi.

Produk vape tidak boleh lagi dibeli di kedai.
Imej: Mike Mozart.

Di bawah undang-undang baru, pengharaman meliputi pembekalan, pengilangan, import, pemilikan komersial atau penjualan vape di mana-mana tempat selain farmasi. Larangan itu juga terpakai kepada peranti vape yang tidak mengandungi nikotin.

Untuk penjualan di farmasi pula, produk vape yang dijual perlu menggunakan pembungkusan dengan warna yang ringkas atau biasa, selain hanya tiga perisa sahaja dibenarkan untuk dijual iaitu pudina, mentol dan tembakau. Penduduk yang ingin mendapatkan produk vape perlu mengemukakan preskripsi dari doktor atau jururawat bertauliah.

Bermula 1 Oktober pula, mereka yang berumur 18 tahun ke atas tidak perlu lagi mengemukakan preskripsi untuk membeli produk vape dari farmasi. Bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, peraturan sama dikekalkan dan tertakluk kepada undang-undang di peringkat negeri dan wilayah.

"Bermula 1 Julai 2024, semua vape yang mengandungi bahan nikotin di Australia adalah dikawal selia sebagai produk terapi. Ini bermakna ia hanya boleh didapati di farmasi sebagai membantu mereka yang ingin berhenti merokok atau menguruskan ketagihan nikotin," menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Australia.

Undang-undang yang mula dilaksanakan itu bermakna kedai-kedai yang menjual vape di sekitar Australia perlu ditutup. "Bukanlah satu perasaan yang menarik untuk difikirkan sekarang, melihat kepada kos sara hidup yang semakin meningkat. Saya secara peribadinya tak tahu apa yang perlu dilakukan," kata seorang pekerja di kedai vape di Queensland kepada media ABC.

Namun begitu, bagi Persatuan Farmasi Australia, mereka merasakan undang-undang baru itu dikuatkuasakan secara tergesa-gesa dan tidak melibatkan badan, entiti atau profesional yang lebih berkelayakan dalam membincang isu berkaitan vape. "Kami terkejut dan mempersoalkan kenapa kami tidak dipanggil dalam perbincangan mengenai isu yang sangat penting ini," kata Anthony Tassone, Naib Presiden Persatuan Farmasi Australia menerusi satu kenyataan.

Peraturan itu juga mendorong beberapa kumpulan farmasi sekitar Australia membantah undang-undang baru itu, dengan rata-ratanya tidak bersetuju penjualan produk vape di farmasi. Menurut Tassone, ramai ahli farmasi tidak ingin menjual produk yang berpotensi berbahaya kepada kesihatan serta mempunyai ketagihan yang tinggi tanpa preskripsi yang tepat.

"Ahli farmasi hanya boleh bekalkan perubatan mengikut Jadual 3 jika terdapat keperluan terapi yang ditetapkan. Apa yang kita tak tahu ialah kesan jangka masa panjang terhadap keselamatan pesakit, jadi bagaimana seorang ahli farmasi boleh memaklumkan keputusan yang dibuat," ujar Tassone.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog