Jump to content

Wn/ms/Saintis merakam aksi sotong gergasi laut dalam jarang ditemui di Lautan Pasifik

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Saintis merakam aksi sotong gergasi laut dalam jarang ditemui di Lautan Pasifik

19 Mei 2024 (Ahad)

Sepasukan saintis merakam spesis sotong gergasi laut dalam yang jarang ditemui melalui kedalaman sebanyak kira-kira satu kilometer di Lautan Pasifik dekat negara Samoa. Sotong itu dipercayai dari spesis laut dalam yang paling terbesar sekali dan mampu mengeluarkan cahaya di kedua-dua hujung pergelangan tentakel utamanya.

Spesimen Taningia danae yang dijumpai pada tahun 1991.
Imej: Institut Smithsonian.

Menerusi video yang dirakamkan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Laut Dalam Minderoo-UWA Universiti Australia Barat (UWA) dengan kerjasama Kelpie Geosciences dari United Kingdom, dua ekor sotong pencengkam laut dalam yang dikenali sebagai Taningia danae menyedari kehadiran kamera yang sedang diturunkan pada kadar 58 meter per minit untuk ke bahagian dasar lautan. Salah seekor daripada sotong ini kemudian bergerak mendekati kamera itu.

"Sotong ini, dengan anggaran panjang sebanyak 75 sentimeter, berenang ke arah kamera kami kerana mengesyaki kamera itu adalah mangsa, dan cuba mengejutkannya dengan lampu bioluminen yang besar," kata Heather Stewart, Profesor Madya UWA dan saintis dari Kelpie Geosciences." Tambahnya lagi, sotong itu kemudian membaluti kamera dengan salah satu daripada tentakelnya, membolehkan rakaman dibuat dengan lebih jelas.

Professor Alan Jamieson, pengarah Pusat Penyelidikan Laut Dalam Minderoo-UWA berkata aktiviti pemerhatian habitat semula jadi sotong laut dalam, lebih-lebih lagi di tengah lautan merupakan satu cabaran besar. "Banyak rakaman mengenai spesis ini datang dari bangkai, tangkapan yang tidak disengajakan atau datang dari isi perut ikan paus. Pemerhatian nyata yang jarang berlaku ke atas hidupan ini membolehkan setiap saat pergelutan yang berlaku itu lebih bernilai dalam mengumpulkan maklumat seperti lokasi geografi, kedalaman dan tindak-tanduk hidupan itu, tambahan pula kita berdepan dengan haiwan unik yang jarang ditemui, jadi kami perlu berkongsikannya."

Sotong pencengkam laut dalam merupakan antara spesis sotong laut dalam yang paling terbesar sekali dan ianya terkenal kerana mempunyai dua organ luminen yang besar terletak di penghujung kedua-dua pergelangan tentakel utama, yang akan mengeluarkan cahaya bioluminen yang sangat terang bagi menakutkan dan mengelirukan mangsa semasa ia memburu makanan. Ini merupakan organ luminen yang paling besar yang diketahui setakat ini.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog