Wn/ms/Australia mengesan virus influenza burung, beratus ternakan terjejas
22 Mei 2024 (Rabu)
Sydney - Saintis mengesan kehadiran sejenis virus influenza burung dengan patogen yang tinggi di sebuah ladang dekat Melbourne, demikian menurut pihak berkuasa Australia. Mereka kini sedang mengesahkan sama ada ianya varian yang sama yang merebak di seluruh dunia serta menjangkiti lembu-lembu ternakan di Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa agrikultur Victoria berkata ladang itu telah dikuarantin dan sampel telah dihantar ke Pusat Persediaan Penyakit Australia di Geelong bagi mengenalpasti varian virus berkenaan. Ini selepas laporan mengenai banyak haiwan ternakan mati secara tiba-tiba di situ.
Dr Graeme Cooke, Ketua Pegawai Veterinar Victoria berkata ujian awal telah mengesahkan kehadiran virus influenza burung dari varian H7 dan pihak Veterinar Victoria kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi melakukan penyiasatan lanjut. Dia juga mengharapkan peladang-peladang dan pemilik burung agar melaporkan kematian burung yang berlaku secara tiba-tiba melalui talian kecemasan haiwan berjangkit yang dibuka 24 jam sehari atau pergi ke klinik haiwan berdekatan.
Mengenai risiko ke atas manusia, pihak Veterinar Victoria berkata walaupun terdapat kes HPAI yang direkodkan ke atas manusia, namun risikonya masih lagi rendah, selain menambah bahawa produk berasaskan ayam dan itik tidak berisiko dan selamat untuk dimakan.
Untuk rekod, sebanyak lapan kali wabak influenza HPAI dilaporkan telah merebak di sektor perladangan burung komersil di Australia sejak tahun 1976, di mana kesemuanya telah berjaya dikawal.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Calla Wahlquist. " First human H5N1 case reported in Australia as another highly pathogenic strain of bird flu detected on Victorian farm " — The Guardian, 22 Mei 2024
- (Inggeris) " Australia detects bird flu at egg farm, early tests show it is not H5N1 " — AsiaOne, 22 Mei 2024
- (Inggeris) Jane McNaughton, Warwick Long. " Bird flu strain H7N3 detected on Victorian farm, hundreds of thousands of chickens euthanased " — ABC News, 22 Mei 2024
- (Inggeris) Peter Hobson. " Australia reports first human avian flu infection " — Reuters, 22 Mei 2024