Wn/ms/Seorang lelaki ditembak polis, pernah ditembak dalam kejadian berasingan
20 Jun 2024 (Khamis)
Seorang lelaki ditembak polis setelah dia cuba mengugut sepasukan anggota polis dengan bersenjatakan sebilah pisau di Caboolture South, di bahagian utara Brisbane. Anggota polis berada di sana bagi melakukan siasatan orang dikehendaki pada pagi semalam.
Menurut Pesuruhjaya Polis Negeri Steve Gollschewski, lelaki yang berumur 46 tahun itu pernah ditembak anggota polis dalam kejadian berasingan sebelum itu. "Ini kali pertama saya mendengar perkara seumpamanya, jadi ia memang keadaan yang luar biasa," katanya.
Selepas kejadian tembakan semalam, lelaki itu dihantar ke hopsital bagi mendapatkan rawatan kerana keadaannya pada ketika itu agak kritikal akibat tembakan di perut, sambil dikawal rapi oleh beberapa anggota polis. Dua lagi orang serta seorang bayi di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.
Perintah Piawaian Etika dijangka akan memulakan siasatan ke atas insiden itu, dengan pengawasan dari Pesuruhjaya Jenayah dan Rasuah.
Kata Steve lagi, dia menyokong tindakan yang diambil anggota polis berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh berhubung kejadian semalam. "Kepolisan merupakan pekerjaan yang sememangnya berbahaya pada setiap masa. Anggota polis kami dilatih dengan baik, mempunyai kelengkapan yang bersesuaian serta mereka juga berada dalam kedudukan di mana sesuatu keputusan yang bijak akan diambil."
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Alex Brewster. " Man in Queensland police shooting has been shot by officers before, commissioner says " — ABC, 20 Jun 2024
- (Inggeris) " Man shot in the stomach at Caboolture South, north of Brisbane, during 'altercation' with police " — ABC, 19 Jun 2024
- (Inggeris) Adam Vidler, Miriah Davis. " Man, 46, fighting for life after police shooting at home north of Brisbane " — 9News, 19 Jun 2024