Wn/ms/Kemboja larang penggunaan perkhidmatan Internet satelit Starlink
5 Julai 2024 (Jumaat)
Kemboja melarang penggunaan perkhidmatan capaian Internet yang disediakan syarikat telekomunikasi dari Amerika Syarikat, Starlink, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Badan Kawalselia Telekomunikasi Kemboja (TRC) semalam.
Kenyataan itu menyebut larangan melibatkan pengimportan, pembekalan dan pengedaran sebarang jenis peranti telekomunikasi Starlink oleh kerana syarikat itu tidak dilesenkan di Kemboja.
"Ada individu juga dikesan membawa masuk dan mengedarkan peralatan Starlink tiruan, ia mungkin boleh mengganggu kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara serta mengancam keselamatan awam," kata TRC menerusi kenyataan.
TRC juga menyebut mana-mana syarikat yang berniat untuk beroperasi dan menyediakan perkhidmatan Internet di Kemboja perlu memohon lesen dari TRC, sebelum memulakan pengimportan, pembekalan dan pengedaran peranti telekomunikasi.
Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar perintah larangan itu bakal berdepan dengan penalti yang dikenakan berdasarkan kepada Undang-undang Telekomunikasi.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Announcement on Illegal import, supply, and distribution of telecommunications equipment and illegal use of telecommunications services " — TRC, 3 Julai 2024