Wn/ms/PM Hun Manet rasmi majlis pecah tanah projek mega pembinaan Terusan Funan Techo
5 Ogos 2024 (Isnin)
KANDAL - Perdana Menteri, Hun Manet merasmikan majlis pecah tanah projek mega pembinaan Terusan Funan Techo hari ini yang diadakan di perkampungan Prek Takeo dekat wilayah Kandal. Majlis itu dihadiri kira-kira 10,000 para hadirin dan disiarkan di kesemua rangkaian televisyen tempatan.
Berucap ketika merasmikannya, Hun Manet berkata pembinaan terusan itu adalah bukti kepada semangat patriotisma dan kesepaduan daripada keseluruhan rakyat Kemboja. "Projek ini bukanlah semata-mata projek infrastruktur, ia adalah usaha nasional," katanya.
Ujar beliau, terusan sepanjang 180 kilometer itu mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan perdagangan apabila ia dijangka siap pada 2028. "Terusan Funan Techo akan menghubungkan ibu negara Phnom Penh ke pelabuhan laut dalam di wilayah Preah Sihanouk, memudahkan pertukaran perdagangan negara dengan dunia luar."
Rancangan membina terusan itu bakal menawarkan laluan alternatif kepada pedagang yang menggunakan laluan air yang sebelum ini perlu melalui sempadan Vietnam untuk ke Kemboja, di samping mengurangkan kos yang dikenakan Vietnam ke atas penggunaan pelabuhan di negara itu.
Majlis perasmian itu juga serentak dengan pertunjukkan bunga api dan drum dibunyikan di kuil-kuil seluruh negara sebagai tanda sokongan terhadap projek itu. Konsert tradisional juga diadakan di Phnom Penh sebagai sebahagian daripada majlis perasmian itu.
Walau bagaimanapun, projek itu telah menimbulkan kebimbangan di Vietnam berkaitan risiko kemasukan air laut dan kekurangan air bersih ke Sungai Mekong yang berpotensi menjejaskan tanaman padi di beberapa delta. Vietnam telah meminta butiran lanjut mengenai projek itu, namun Presiden Senat Kemboja, Hun Sen menegaskan pihak mereka "tidak akan berunding".
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Cambodia launches ambitious Funan Techo canal project " — Radio Free Asia, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) " Cambodia begins to construct 1.7-bln-USD Funan Techo Canal " — Xinhua, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) " Celebrating Funan Techo Canal Day on August 5: A New Economic Era for Cambodia " — Cambodia Investment Review, 5 Ogos 2024
- (Inggeris) " Cambodia PM launches project linking Mekong river to sea via canal " — VnExpress, 4 Ogos 2024