Wn/ms/Puluhan artifak Khmer yang dicuri ketika era perang dan konflik berjaya dikembalikan
23 Ogos 2024 (Jumaat)
PHNOM PENH - Pelbagai artifak berharga yang berjaya dikembalikan ke Kemboja telah diraikan dalam satu majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Hun Manet pada Khamis. Kesemua artifak itu dipercayai dirompak dan dibawa keluar dari negara ketika berlakunya perang dan konflik pada masa lalu.
Sebanyak 70 artifak warisan dipamerkan dalam majlis itu di Istana Keamanan di Phnom Penh, termasuklah 14 arca dibawa pulang dari Muzium Seni Metropolitan New York di mana proses membawa pulang arca tersebut bermula tahun lepas dan tiba di negara pada 3 Julai.
"Kenapa patung Khmer ini meninggalkan Kemboja? Kerana kita semua dipisahkan," kata Hun Manet menerusi ucapan dalam majlis itu. "Jika kita mencapai keamanan, pencuri tidak mampu mencuri kesemua patung ini. Sebagai menandakan ulangtahun pertama mandat Kerajaan baharu kami, kita mampu mengekalkan kestabilan, keamanan dan kegembiraan kepada semua rakyat."
Kebanyakan artifak warisan itu dirompak ketika negara dalam tempoh pergolakan akibat perang saudara dan konflik semasa Kemboja diperintah oleh pemerintah komunis Khmer Rouge sekitar 1970-an. Antara artifak yang dirampas seperti arca Shiva dan Uma yang diukir semasa tempoh pra-Angkor dan Angkor dan pelbagai objek tinggalan Khmer. Turut dikembalikan bahagian kepala arca gangsa patung kesatria Buddha Lokeshvara yang akan digabungkan dengan badannya di Muzium Nasional Phnom Penh setelah ia terpisah berdekad lamanya akibat perang dan perdagangan haram.
"Sebanyak 70 objek warisan Khmer telah dipulangkan menggunakan pelbagai pendekatan berbeza, termasuklah pemulangan secara sukarela, rundingan, rampasan dan prosiding undang-undang dari pihak berkaitan berbeza seperti Keluarga Lindemann, Jim Clark, Muzium Seni Metropolitan New York dan pengumpul peribadi lain di Amerika Syarikat," kata Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus menerusi kenyataan.
Dari tahun 1994 sehingga Julai 2024, sejumlah 1,098 objek warisan milik Kemboja telah dikembalikan dari pihak berkepentingan dan kerajaan dan institusi dari beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Denmark, Hungary, Indonesia, Jepun, Kanada, Perancis, Switzerland, Thailand dan United Kingdom.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " PM says war division led to theft of Khmer antiquities " — Khmer Times, 22 Ogos 2024
- (Inggeris) " Cambodia holds homecoming ceremony for antiquities " — ABS-CBN, 22 Ogos 2024
- (Inggeris) Sopheng Cheang. " Cambodia's prime minister welcomes artifacts returned by New York's Met and other collections " — Albuquerque Journal, 22 Ogos 2024