Jump to content

Wn/ms/Kemboja lapor kes selsema burung H5N1 baharu libatkan manusia

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Kemboja lapor kes selsema burung H5N1 baharu libatkan manusia

8 Julai 2024 (Isnin)

PHNOM PENH - Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dari wilayah Takeo menjadi mangsa terbaru kes selsema burung H5N1, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Sabtu. Kes terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam kes jangkitan H5N1 untuk tahun ini.

Mangsa mengalami simptom seperti demam, batuk, keletihan serta mengalami kesukaran bernafas. Dia dimasukkan ke unit rawatan rapi pada Jumaat dan keadaan dilaporkan stabil setelah gejalanya menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

"Keputusan makmal dari Institut Nasional Kesihatan Awam dan Institut Pasteur di Kemboja pada Jumaat menunjukkan kanak-kanak itu positif virus H5N1," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menyentuh bangkai ayam yang telah mati untuk dijadikan sebagai hidangan kira-kira 10 hari sebelum itu. Pihak berkuasa kesihatan kini sedang melihat punca jangkitan serta memeriksa kes-kes yang disyaki melibatkan interaksi bersama mangsa bagi mengelakkan penyebaran wabak dalam komuniti.

Ubat antiviral Tamiflu (oseltamivir) juga diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan pesakit berkenaan bagi mengelakkan jangkitan itu daripada tersebar.

Setakat ini, lima daripada enam kes berkaitan H5N1 melibatkan pesakit kanak-kanak, di mana seorang daripadanya telah meninggal dunia. Kesemua pesakit dilaporkan mempunyai sejarah berkaitan pendedahan dengan haiwan ternakan yang sakit atau mati sebelum mereka menunjukkan simptom.

Untuk rekod, virus H5N1 dengan strain terbaharu, 2.3.4.4b, telah menimbulkan kebimbangan kerana penyebaran di peringkat global serta terdapat peningkatan kes yang melibatkan haiwan ternakan. Hanya sebilangan kecil kes yang melibatkan manusia dilaporkan setakat ini selepas mereka melakukan persentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti.

Pihak berkuasa kesihatan pula mengingatkan bahawa selsema burung masih lagi mengancam kesihatan manusia, lebih-lebih lagi dari kalangan kanak-kanak dan meminta orang ramai untuk tidak makan hidangan berasaskan haiwan ternakan yang sakit atau mati.


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog