Wn/ms/Kebakaran reban di Sarawak, 5,000 ekor ayam hangus terbakar
26 Mei 2024 (Ahad)
KUCHING - Sebuah reban ayam musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi. Kejadian itu berlaku di sebuah ladang penternakan ayam di Jalan Matang yang menempatkan kira-kira 11 buah reban ayam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Batu Lintang bergegas ke lokasi kejadian itu setelah menerima panggilan kecemasan pukul 7:11 pagi waktu tempatan. "Setibanya di lokasi, pasukan mendapati api sedang marak pada salah satu daripada reban ayam. Terdapat 11 buah reban dalam ladang berkeluasan 8 hektar dan hanya satu reban sahaja yang musnah akibat terbakar," menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Menurutnya lagi, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan anggaran kerugian.
Dalam kejadian itu, seorang anggota bomba patah pergelangan kaki selepas terjatuh ketika memadam kebakaran berkenaan. “Kesukaran semasa operasi pemadaman disebabkan masalah tiada pili bomba dan tiada sumber air terbuka berhampiran. Pasukan bomba terpaksa berulang-alik mengambil air dari pili terdekat yang jaraknya satu kilometer dari lokasi kebakaran," menurut kenyataan jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak.
Anggota yang tercedera itu menerima rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba Petra Jaya sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan selanjutnya.
Kebakaran itu berjaya dikawal pukul 8:25 pagi waktu tempatan. Dilaporkan lebih 5,000 ekor ayam hangus di tempat kejadian.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " 5,000 chickens killed in fire at Jalan Matang poultry farm " — New Straits Times, 26 Mei 2024
- (Melayu) Cherine Jon. "Bomba ulang-alik angkut air patah pergelangan kaki" — Kosmo!, 26 Mei 2024
- (Melayu) "5,000 ayam hangus ladang ternakan ayam terbakar" — Utusan Borneo, 26 Mei 2024
- (Melayu) "6,000 ayam rentung, reban terbakar" — Sinar Harian, 26 Mei 2024