Wn/ms/Warkah persilaan ke istiadat pertabalan Agong bukti tradisi Melayu turun-temurun
10 Julai 2024 (Rabu)
Pada 20 Julai ini, rakyat Malaysia akan menantikan detik bersejarah menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Ia merupakan salah satu daripada identiti unik di Malaysia yang mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan di mana Agong dipilih dari giliran hasil musyawarah dari kalangan Raja-Raja Melayu.
Warkah persilaan merupakan satu bentuk dokumen rasmi yang mengundang Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama (TYT) mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Rasmi Sultan Ibrahim yang diadakan di Balairung Seri, Istana Negara.
Warkah itu adalah bukti kepada adat dan tradisi orang Melayu yang memiliki sifat sopan dan santun yang telah diamalkan turun-temurun. Kandungannya ditulis dalam bahasa Melayu Istana yang halus sebagai perantaraan dari kalangan Raja-Raja Melayu dan menggunakan tulisan Jawi dengan khat Nasakh, Thuluth dan Muhaqqaq bagi menghasilkan tulisan Jawi yang kemas serta mudah dibaca.
Setelah siap, warkah persilaan yang diperbuat dari kulit kambing itu diletakkan dalam kapsul dengan dua warna berbeza; kapsul berwarna emas untuk Raja-Raja Melayu manakala kapsul berwarna perak untuk Tuan Yang Terutama (TYT) dan Yang di-Pertua Negeri.
Sultan Ibrahim sendiri pernah berangkat ke Brunei untuk mempersembahkan warkah persilaan yang diletakkan dalam kapsul emas itu kepada Sultan Hassanal Bolkiah sebagai tanda keakraban Malaysia-Brunei dan persaudaraan yang terjalin erat di antara Raja-Raja Melayu.
Warkah persilaan itu juga turut dipersembahkan kepada Raja-Raja di luar negara. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 mempersembahkan warkah persilaan kepada Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa melalui puteranya iaitu Sheikh Abdullah bin Hamad Al Khalifa minggu lalu.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Sarat tradisi, warkah persilaan undangan ke pertabalan Agong ke-17" — Astro Awani, 10 Julai 2024
- (Melayu) "Sultan Brunei berkenan berangkat ke pertabalan Agong" — Sinar Harian, 8 Julai 2024
- (Inggeris) "Fahmi persembah Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Agong kepada Raja Bahrain" — Astro Awani, 2 Julai 2024