Wn/ms/Utusan Malaysia, Kosmo! akan kembali 20 Julai

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Utusan Malaysia, Kosmo! akan kembali 20 Julai

8 Julai 2020 (Rabu)


KUALA LUMPUR - Akhbar Utusan Malaysia dijangka bakal kembali pada hari Isnin, 20hb Julai ini bersama-sama akhbar kembarnya, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

Perkara ini diumumkan oleh pihak pemilik akhbar tersebut, Media Mulia Sdn. Bhd., melalui laman sesawang Utusan Online yang memaparkan sebuah teaser, memberitahu bahawa Utusan Malaysia dan Kosmo! akan kembali pada hari tersebut.

Terdahulu, laman-laman sosial Utusan Malaysia telah mengumumkan bahawa akhbar tersebut akan pulang pada bulan ini, dan mula memaparkan papan iklan di serata ibu negara sejak beberapa hari yang lalu.

Pada bulan Oktober 2019, Utusan Malaysia telah berhenti operasi buat sementara waktu selepas gagal membayar hutang dan gaji pekerja mereka. Sebelum penutupan akhbar tersebut diumumkan, syarikat Aurora Mulia Sdn. Bhd. milik ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, dikatakan telah memperoleh majoriti saham dalam anak syarikat Kumpulan Utusan, Dilof Sdn. Bhd. yang mempunyai lesen percetakan akhbar tersebut.

Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar kembarnya kini di bawah pengendalian syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat kepada Aurora Mulia.

Sumber[edit | edit source]