Wn/ms/Sultan Ibrahim ingatkan umat Islam agar lebih berhati-hati dalami ilmu agama
7 Julai 2024 (Ahad)
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar umat Islam perlu memastikan kesahihan sesuatu maklumat yang diperoleh agar tidak membawa kepada perpecahan dan kekeliruan.
Titah baginda itu disampaikan bersempena dengan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Putrajaya hari ini. Baginda berpendapat pada masa kini kebanjiran maklumat tanpa sempadan yang disebarkan menerusi media sosial amat sukar dikawal. "Ada juga kebimbangan yang semakin serius mengenai penyebaran maklumat mengenai agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam sebenar."
Selain itu, baginda juga mengingatkan agar berhati-hati dalam mempelajari ilmu agama di media sosial serta memastikan kandungan ilmu itu adalah sahih dan berwibawa.
"Jika orang dulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid. Namun orang sekarang belajar agama secara atas talian daripada 'Ustazah Facebook' dan 'Ustaz Tiktok'."
Baginda juga bertitah, terdapat banyak ajaran dan fahaman yang berbeza-beza di Malaysia, namun baginda menegaskan umat Islam perlu mengamalkan ajaran Islam berlandaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan di Malaysia.
"Janganlah kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri. Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu?"
"Awak semua fikirkan betul-betul. Saya cuma boleh ingatkan sahaja. Awak semua buat pilihan."
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Waspada ajaran, fahaman agama pecah belah perpaduan – Sultan Ibrahim" — Kosmo!, 7 Julai 2024
- (Melayu) Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid. "Hati-hati dalami ilmu agama di media sosial, pastikan sumbernya sahih, berwibawa - Sultan Ibrahim" — Harian Metro, 7 Julai 2024
- (Melayu) Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid. "Islam diamalkan di Malaysia berlandaskan Ahli Sunnah Wal-Jamaah- Sultan Ibrahim" — Harian Metro, 7 Julai 2024
- (Melayu) Nizam Zain. "Banyak fahaman, ajaran Islam berbeza macam ‘rojak’ – Agong" — Malaysia Gazette, 7 Julai 2024