Wn/ms/Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
21 Julai 2024 (Ahad)
KUALA LUMPUR - Semalam berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur yang menyaksikan keunikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan dengan konsep giliran melalui Majlis Raja-Raja sejak 1957.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Balairung Seri diiringi oleh alunan tiupan nafiri dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat dari Kumpulan Nobat Diraja Perak yang memainkan alunan "Raja Berangkat". Baginda berdua kemudian melangkah bersemayam di Singgahsana.
Selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini memohon perkenan Seri Paduka Baginda bagi memulakan istiadat pertabalan serta memohon perkenan membawa masuk Al-Quran serta alat-alat kebesaran istiadat pertabalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan surat pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Bahawa inilah dimasyurkan kepada sekalian orang serta penduduk negara Malaysia iaitu, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja telah memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan pada hari, waktu dan saat yang gilang gemilang ini maka Seri Paduka Baginda ditabalkan menaiki takhta kerajaan menjadi turus negara bagi Malaysia dengan bergelar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17."
Istiadat pertabalan itu dihadiri seramai 700 tetamu kehormat termasuklah Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin-pemimpin utama dalam dan luar negara. Turut berangkat tiba ialah Kebawah Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Isa Al-Khalifa.
Sultan Ibrahim dari Johor dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang telah tamat tempoh pemerintahannya selama 5 tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan 2024.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "#AgongKita: Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong ke-17 bermula" — Astro Awani, 20 Julai 2024
- (Inggeris) Rahimy Rahim, Teh Athira Yusof. " Sultan Ibrahim installed as 17th King of Malaysia " — The Star, 20 Julai 2024
- (Inggeris) " Sultan Ibrahim installed 17th king of Malaysia " — FMT, 20 Julai 2024