Wn/ms/Sharim Md Zain menang kerusi DUN Chini

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Sharim Md Zain menang kerusi DUN Chini

4 Julai 2020 (Sabtu)


PEKAN - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengumumkan calon parti politik Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan N23 Chini, Pahang sebentar tadi, berikutan Pilihan Raya Kecil yang diadakan bagi kawasan tersebut.

Mohd Sharim yang bertanding melawan dua calon bebas telah meraih sebanyak 13,872 undi daripada 15,231 jumlah undi yang sah. Kedua-dua calon yang lain, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, masing-masing telah mendapat 1,222 dan 137 undi.

Pilihan raya ini merupakan Pilihan Raya Kecil pertama yang diadakan sejak bermulanya kemelut politik di Malaysia pada 21 Februari yang lepas, yang menyaksikan pertukaran kerajaan daripada kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan baharu yang dipanggil Perikatan Nasional, dan merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan hanya satu parti bertanding iaitu Barisan Nasional, dengan calon-calon yang lain semua merupakan calon bebas.

Ia juga merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak bermulanya penularan pandemik Covid-19, dan segala tugasan Pilihan Raya Kecil ini telah dilaksanakan mengikut prosedur Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Pilihan Raya Kecil ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 yang lalu, Abu Bakar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional telah memperolehi 10,027 undi dan memenangi dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon dari Parti Islam Se-Malaysia, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon Parti Keadilan Rakyat, Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Sumber[edit | edit source]