Wn/ms/Sepanyol hancurkan impian England, rekod empat kejuaraan Eropah
15 Julai 2024 (Isnin)
BERLIN - Penantian England selama 58 tahun untuk menjulang trofi UEFA EURO nampaknya bersambung untuk empat tahun lagi apabila mereka tewas kepada pasukan Sepanyol dengan keputusan 2-1. Perlawanan itu berlangsung di Stadium Olympiastadion di Berlin, Jerman.
Sepanyol yang dibarisi ramai pemain muda jelas mengawal rentak permainan pada babak pertama, apabila mereka memiliki 83 peratus penguasaan bola pada 10 minit pertama. England pula bertindak cemerlang mengawal kubu pertahanan dalam menidakkan peluang Sepanyol. Pada minit ke-25, penyerang England Harry Kane dikenakan kad kuning setelah dia mencabar keputusan pengadil perlawanan yang tidak memberikan kad kepada Dani Carvajal kerana kekasaran yang dilakukan ke atas Bukayo Saka.
Tidak banyak peluang keemasan yang dicipta kedua-dua pasukan setelah perlawanan tamat separuh masa pertama.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente melakukan pertukaran pemain apabila Rodri dikeluarkan akibat kecederaan dan diganti dengan pemain tengah Martín Zubimendi apabila memasuki separuh masa kedua.
Sepanyol tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila hantaran silang yang dilakukan Lamine Yamal disudahkan Nico Williams menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford selang dua minit selepas mula separuh masa kedua. Serangan bertali arus terus diciptakan Sepanyol dalam usaha mereka menambah jaringan, namun England tenang menyerap tekanan dengan mempamerkan aksi pertahanan yang cemerlang.
Minit ke-73 menyaksikan England berjaya menyamakan kedudukan, hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti yang disudahkan Cole Palmer. Dia baru sahaja dibawa masuk oleh jurulatih England, Gareth Southgate seminit sebelum itu, menggantikan Kobbie Mainoo.
Namun begitu, dominasi Sepanyol dalam minit-minit akhir membuahkan hasil apabila pemain gantian Mikel Oyarzabal berjaya menggegar jaring England setelah dia menerima hantaran yang baik daripada Marc Cucurella pada minit ke-86. Minit ke-94, pengadil perlawanan François Letexier meniupkan wisel tamatnya perlawanan dan seluruh stadium bergema dengan sorakan padu dari peminat Sepanyol yang menyaksikan pasukan mereka muncul juara buat kali keempat.
Untuk rekod, Sepanyol merupakan pasukan pertama yang memenangi empat kejuaraan serta pasukan pertama yang menang kesemua tujuh perlawanan dalam kejohanan UEFA EURO.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Spain 2-1 England: Late Oyarzabal winner earns La Roja record fourth EURO crown " — UEFA.com, 14 Julai 2024
- (Inggeris) Jesse Yomtov. " England vs Spain highlights: Mikel Oyarzabal goal wins thrilling Euro 2024 final " — USA Today, 14 Julai 2024
- (Inggeris) Jacob Steinberg. " Mikel Oyarzabal’s late winner for Spain crushes England’s Euro 2024 dream " — The Guardian, 14 Julai 2024