Wn/ms/Ribuan penduduk Mallorca sertai protes menentang aktiviti pelancongan tak terkawal
22 Julai 2024 (Isnin)
Ribuan penduduk tempatan menyertai demonstrasi di Mallorca bagi memprotes aktiviti pelancongan tidak terkawal yang didakwa menjejaskan kualiti hidup mereka di sana pada Ahad. Demonstrasi itu dianjurkan oleh aktivis anti pelancongan.
Mereka mendakwa industri pelancongan di pulau dalam Kepulauan Balearic itu memberi kesan buruk kepada komuniti setempat seperti bayaran gaji yang tidak setimpal dan mencukupi untuk melunaskan pembayaran sewa rumah yang semakin meningkat. Selain itu, ribuan pelancong yang menetap di sana juga telah menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa yang mencetuskan bunyi bising dari kenderaan serta persekitaran jalan yang kotor akibat sisa lumpur.
Peserta demonstrasi di sekitar jalanan di pulau itu membawa beberapa sepanduk seperti "Your luxury, our misery" ("Kemewahan anda, kesengsaraan kami"), "Katakan tidak kepada pelancongan" dan "Hentikan pesawat peribadi". Demonstrasi itu merupakan siri bantahan yang telah diadakan di beberapa pusat pelancongan lain seperti Barcelona, Malaga di sekitar Sepanyol.
Pihak polis menganggarkan lebih kurang 20,000 peserta yang melibatkan diri, manakala penganjur pula menganggarkan sekitar 50,000 peserta.
Menurut jurucakap penganjur aktivis 'Less Tourism, More Life', Pere Joan Feminia, satu bentuk garis panduan perlu dikemukakan bagi mengawal dan mengurangkan jumlah pelancong di pulau selain meningkatkan kembali kualiti hidup penduduk tempatan yang terjejas. "Sekarang adalah masanya untuk berkata cukuplah sampai disini," katanya.
Untuk rekod, seramai 1.2 juta penduduk tinggal di Mallorca. Tahun lepas sahaja merekodkan sejumlah 18 juta pelancong datang ke sana. Industri pelancongan di pulau itu menyumbang kira-kira 45 peratus daripada keluaran ekonomi setempat. Namun begitu, aktivis berkata ramai penduduk terpaksa tidur di dalam kereta atau di luar ekoran kos pemilikan rumah yang terlalu tinggi.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Thousands in Mallorca demand 'less tourism, more life' in pushback against overtourism " — euronews, 22 Julai 2024
- (Inggeris) Wendy Allen. " Tens of thousands protest on Mallorca against mass tourism " — aussiedlerbote, 22 Julai 2024
- (Inggeris) " Thousands protest against mass tourism on Spanish island of Mallorca " — SCMP, 22 Julai 2024
- (Inggeris) " Thousands rally in Spain's Mallorca against mass tourism " — France 24, 22 Julai 2024