Wn/ms/Real Madrid raih trofi Champions League ke-15
02 Jun 2024 (Sabtu) Real Madrid menjulang trofi UEFA Champions League buat kali ke-15 dalam sejarah apabila pasukan yang dikendalikan Carlo Ancelloti itu menumpaskan Borussia Dortmund dengan jaringan 2-0 di Stadium Wembley, awal pagi tadi. Ini juga merupakan perlawanan terakhir Toni Kroos bersama Real Madrid, apabila dia mengumumkan persaraannya dari arena bola sepak sebelum itu.
Namun begitu, kemenangan yang diraih mereka tidak datang dengan mudah. Pada separuh mata pertama, Madrid kelihatan bergelut untuk mendapatkan rentak permainan, sebaliknya Dortmund mencipta banyak peluang untuk membuka jaringan. Karim Adeyemi terlepas dua peluang untuk membuka jaringan untuk Dortmund. Selain itu, Niclas Füllkrug juga tidak berjaya menjaringkan gol walaupun rembatan bolanya melepasi Thibaut Courtois tetapi hanya menerjah tiang gol.
Tiada gol dihasilkan oleh kedua-dua pasukan setelah berakhirnya separuh masa pertama.
Masuk separuh masa kedua pula, Madrid dilihat menukar sedikit taktik permainannya. Di awal separuh masa kedua, Vinicius Junior dijatuhkan pemain lawan dan berjaya mendapatkan sepakan percuma. Namun, sepakan yang disudahkan Toni Kroos berjaya ditepis penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel.
Masuk minit ke-73, Madrid berjaya membuka jaringan apabila pemain Dani Carvajal menanduk bola menerjah gawang hasil dari sepakan sudut yang diambil Kroos. Kegagalan Dortmund mencipta gol dihukum lagi oleh Madrid apabila mereka menambah satu lagi gol menerusi rembatan Vinicius yang berpunca dari gerakan menarik Jude Bellingham pada minit ke-82. Dortmund hampir membuka jaringan pada minit ke-87, namun jaringan Füllkrug dibatalkan akibat ofsaid.
Untuk rekod, Dortmund pernah mengharungi perlawanan akhir UEFA Champions League pada 2013 di stadium yang sama, namun kalah kepada Bayern Munich dengan jaringan 1-2. Bagi Ancelloti pula, kemenangan Madrid itu menghadiahkan trofi Champions League ke-5 sepanjang kariernya dalam bidang kejurulatihan.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) David Hytner. "Real Madrid win Champions League final as Dortmund rue missed chances" — The Guardian, 1 Jun 2024
- (Inggeris) Ian casselberry. "Champions League final: Real Madrid surges late for 2–0 victory over Dortmund" — Yahoo! News, 1 Jun 2024
- (Inggeris) Mark Pettit. "Real Madrid win Champions League: Carvajal and Vinícius Júnior see off Dortmund" — UEFA.com, 1 Jun 2024