Jump to content

Wn/ms/Polis Filipina selamatkan pelancong Vietnam, 3 warga China bakal didakwa

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Polis Filipina selamatkan pelancong Vietnam, 3 warga China bakal didakwa

8 Ogos 2024 (Khamis)

MANILA - Tiga suspek warga China diberkas pihak polis atas tuduhan menculik seorang pelancong warga Vietnam di sebuah resort dekat Parañaque City pada Selasa. Mangsa dikenali sebagai "Lang" berumur 23 tahun dilaporkan berjaya diselamatkan polis.

Menurut pihak polis, mereka menerima laporan daripada seorang staf resort berkenaan insiden penculikan yang berlaku di situ. Bertindak atas maklumat, polis kemudian menyerbu unit resort berkenaan sebelum menyelamatkan mangsa serta memberkas kesemua suspek di lokasi yang sama.

Dalam serbuan itu, polis menjumpai tiga pucuk pistol dari jenis Taurus, C2 P-07 dan Black Widow 22 Magnum, sejumlah peluru dan peranti elektronik, dua buah passport, beberapa keping plat lesen palsu, sebuah kereta dari jenis Ford Ranger, beberapa ubat larangan seperti pil Ecstasy dan Methamphetamine serta wang tunai sebanyak 236,000 peso (RM18,377).

Siasatan lanjut mendapati mangsa yang bekerja sebagai pegawai tukaran mata wang asing telah dihubungi suspek dikenali sebagai "Zhang" melalui platform Telegram untuk berjumpa di sebuah kondominium di Barangay Tambo bagi melakukan transaksi pertukaran mata wang Dong Vietnam kepada Peso Filipina.

Apabila mangsa sampai ke lokasi, suspek kedua yang dikenali sebagai "Hao" telah mengugut mangsa dengan sebilah pisau serta merampas dua telefon bimbit, beberapa barang kemas dan sejumlah wang tunai. Mangsa juga turut dipaksa melakukan pemindahan wang atas talian berjumlah kira-kira 20 juta peso (RM1,557,291) kepada akaun tak diketahui.

Mangsa kemudian dibawa ke resort di mana dia ditahan dan didera secara fizikal oleh ketiga-tiga suspek. Walau bagaimanapun, dia berjaya mendapatkan bantuan dari staf resort selepas suspek beredar.

Ketiga-tiga suspek itu akan didakwa di bawah Akta Republik 10591 (Memiliki Senjata Api dan Peluru Secara Haram) dan RA 9165 (Akta Dadah Berbahaya).


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog