Jump to content

Wn/ms/Pergaulan bebas, hina agama di Kelantan boleh didenda sehingga RM50,000

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Pergaulan bebas, hina agama di Kelantan boleh didenda sehingga RM50,000

6 Jun 2024 (Khamis)

KOTA BHARU - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 yang akan menggantikan enakmen undang-undang sedia ada, Enakmen Hiburan Tahun 1998 bakal dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang setelah cadangan RUU itu diluluskan kerajaan Kelantan.

Demikian jawapan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan terhadap soalan yang dikemukakan Norsham Sulaiman (Pas-Semerak) semasa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis berkaitan dengan status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang sudah lama tidak dipinda.

Menurut Mohamed Fadzli, draf RUU Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan telah dipertimbangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan disahkan pada 15 Mei lepas. Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan negeri Kelantan telah dipertanggungjawabkan untuk mengkaji dan menggubal peraturan di bawah RUU baru itu.

"Berdasarkan kajian, jawatankuasa berkenaan mencadangkan memansuhkan enakmen sedia ada dengan menggubal Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan yang baharu," katanya.

Jelas Mohamed Fadzli, antara fokus penambahbaikan kepada RUU baru itu adalah mewujudkan kesalahan baharu termasuklah larangan terhadap hiburan yang mengandungi, mempromosi, mempunyai atau diselitkan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan akhlak, tatasusila dan moral.

Selain itu, menyokong atau menormalisasikan LGBTQ, menghina agama dan percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan dan kawalan turut menjadi kesalahan di bawah undang-undang baru itu. Kadar denda bagi kesalahan-kesalahan juga dinaikkan daripada RM20,000 menerusi peruntukkan enakmen sedia ada kepada RM50,000.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog