Jump to content

Wn/ms/Ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa di mahkamah

From Wikimedia Incubator
< Wn | ms
Wn > ms > Ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa di mahkamah

19 Jun 2024 (Rabu)

Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis ketika bertugas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru bagi menghadapi empat pertuduhan berkaitan dengan penyebaran ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) hari ini.

Mereka tiba di perkarangan kompleks mahkamah kira-kira pukul 9:00 pagi dengan menaiki kenderaan berasingan dan dikawal ketat seramai lebih kurang 30 anggota polis yang telah melakukan persediaan rapi sejak pukul 7 pagi tadi. Sebelum itu, kelima-lima ahli keluarga itu telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pertuduhan dibacakan oleh Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim secara berasingan. Bagi suspek pertama, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun, dia berdepan dengan empat pertuduhan termasuklah di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu mengalakkan ideologi keganasan dengan menanam fahaman kumpulan pengganas IS. Selain itu, Radin Imran juga dituduh menyimpan bahan bacaan berkaitan kumpulan pengganas dan senjata api buatan sendiri bagi tujuan menjalankan aktiviti kumpulan IS. Untuk pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seterusnya, bagi pertuduhan keempat, Radin Imran bersama Radin Romyullah, 34 tahun dituduh melakukan sumpah baiah bagi menunjukkan taat setia kepada pemimpin kumpulan IS, Abu Bakar Al-Baghdadi dan dituduh di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574). Radin Romyullah pula dituduh menyimpan bahan media elektronik berkaitan kumpulan IS dan didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Tertuduh ketiga hingga kelima, Rosna Jantan, 59 tahun, Farhah Sobrina, 23 tahun dan Mariah, 19 tahun masing-masing berdepan dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574) apabila mereka didakwa dengan sengaja tidak memberikan maklumat kepada kesalahan berkaitan dengan penyebaran ideologi pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di lokasi yang sama di Kampung Sungai Tiram antara April 2017 dan 17 Mei 2024 dan berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Hakim tidak membenarkan sebarang ikat jamin ke atas tertuduh dan menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur


Berita berkaitan

[edit | edit source]

2 anggota polis terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram


Sumber

[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog