Jump to content

Wn/ms/Penjualan daging kultur diharamkan di beberapa negeri di Amerika Syarikat

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Penjualan daging kultur diharamkan di beberapa negeri di Amerika Syarikat

2 Jun 2024 (Ahad)

Beberapa negeri di Amerika Syarikat mengharamkan penjualan daging kultur iaitu daging yang dihasilkan di makmal, walaupun penjualannya telah diluluskan dari peringkat persekutuan pada 2023. Awal bulan lalu, Florida dan Alabama mengumumkan pengharaman penjualan daging kultur dan makanan laut. Di Iowa, pihak gabenor telah menandatangani rang undang-undang yang tidak membenarkan sekolah-sekolah membeli daging kultur.

Pasta dengan daging ayam kultur Good Meat.
Imej: Jpatokal.

Walaupun begitu, beberapa negeri seperti Tennessee menangguhkan cadangan pengharaman selepas pihak berkepentingan berhujah bahawa perkara ini akan menyekat pilihan pengguna. Beberapa pengeluar daging kultur dilaporkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap usaha mengharamkan penjualan daging itu.

Kelulusan penjualan daging kultur pada 2023 membolehkan syarikat pemula dari California, Good Meat dan Upside Foods memasarkan produk daging kultur mereka. Dua restoran terkemuka pernah menambah menu yang berasaskan kepada daging kultur itu. Salah satu daripada produk keluaran Good Meat, Good Meat 3 pula dieksport dan dipasarkan di Singapura, yang menggunakan tiga peratus daging ayam kultur.

Dari peringkat senat pula, Senator Jon Tester dan Mike Rounds memperkenalkan rang undang-undang pada Januari yang melarang penggunaan daging kultur dalam program makan tengahari sekolah.

Kata Tom Rossmeissl, Ketua Pemasaran Global Good Meat, "Perkara ini memalukan apabila mereka menutup usaha kami sebelum kami boleh mengeluarkannya." Dia kemudian berkata, Amerika Syarikat sedang memimpin usaha membangunkan daging dan makanan laut berkultur, yang terdiri daripada 45 buah syarikat, namun keadaan boleh berubah. Menurutnya lagi, bulan Januari sahaja, syarikat dari Israel telah menerima kelulusan awal untuk memasarkan stik pertama dunia yang dihasilkan menggunakan daging kultur, manakala China pula melabur secara besar-besaran dalam industri daging kultur.

Nada berlainan disuarakan Senator Jack Williams yang mencadangkan pengharaman daging kultur di Alabama. Menurutnya, "Penduduk Alabama ingin tahu apa yang mereka makan, dan kami tak tahu apa kandungannya (daging kultur) atau kesan terhadap kita," menerusi emel yang dihantar kepada The Associated Press. "Daging diperoleh dari haiwan ternakan yang diternak oleh penternak dan petani yang bersusah-payah, bukannya dari piring petri yang dibangunkan saintis."

Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog