Jump to content

Wn/ms/Bintang lagenda Hollywood, Donald Sutherland meninggal dunia

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Bintang lagenda Hollywood, Donald Sutherland meninggal dunia

21 Jun 2024 (Jumaat)

MIAMI - Bintang lagenda Hollywood, Donald Sutherland yang popular dalam siri filem The Hunger Games meninggal dunia pada usia 88 tahun, demikian menurut hantaran di X oleh anaknya, Kiefer Sutherland. Beliau meninggal dunia di hospital akibat penyakit yang telah lama dihidapinya.

Donald Sutherland (1998)
Imej: John Mathew Smith & www.celebrity-photos.com.

"Dengan hati yang berat, saya ingin memberitahu ayah saya, Donald Sutherland telah meninggal dunia," katanya. "Saya secara peribadi menganggap ayah salah seorang daripada pelakon terpenting dalam sejarah perfileman. Tidak pernah gentar dengan perwatakan yang dibawanya sama ada baik, jahat atau buruk."

Donald McNichol Sutherland, lahir pada 17 Julai 1935 di New Brunswick, Kanada. Pada zaman kanak-kanak, beliau telah didiagnosis dengan jangkitan hepatitis, polio dan demam reumatik. Keadaan itu mengakibatkan sebelah kaki beliau lebih pendek.

Sutherland mula menceburi bidang lakonan seawal tahun 1960-an dan telah membintangi hampir 200 buah filem dan drama televisyen. Beliau pernah melakonkan watak sebagai detektif dalam filem Klute (1971) yang membolehkan beliau memenangi trofi Oscar. Selain itu, beliau juga mendedahkan perwatakannya yang lebih lucu menerusi filem komedi Animal House (1978).

Dari kalangan peminat filem di Asia Tenggara, atau Malaysia khususnya, beliau lebih dikenali menerusi siri filem The Hunger Games, di mana beliau melakonkan watak Presiden Coriolanus Snow.

"Dia suka dengan apa yang dilakukannya, dan apa yang dicintainya, dan tidak ada orang boleh mempersoalkan apa sahaja yang dia lakukan. Dia sangat bahagia dengan kehidupannya," tambah anaknya.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. "Donald Sutherland ialah seorang suami, ayah dan datuk yang penyayang serta pelakon lain dari yang lain yang memberi inspirasi dan menghiburkan kita semua sepanjang berdekad lamanya," kata Biden menerusi hantaran di X.


Sumber[edit | edit source]


Kongsikan berita ini E-mel berita ini Kongsikan di Facebook Kongsikan di X Kongsikan di reddit Kongsikan di LinkedIn.com Kongsikan di WhatsApp Kongsikan di Telegram LINE Kongsikan di Pinterest Kongsikan di Mastodon Kongsikan di blog