Wn/ms/Ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh di kediamannya di Tehran
31 Julai 2024 (Rabu)
TEHRAN - Ketua kumpulan Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh di kediamannya di Tehran, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) hari ini.
Setakat laporan dikeluarkan, belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab, namun begitu Hamas mendakwa pembunuhan adalah hasil daripada "serbuan terancang" yang dilakukan pihak Israel di kediamannya. Agensi media televisyen Iran juga menyatakan Israel bertanggungjawab terhadap beberapa siri pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan Mossad di Iran yang mensasarkan saintis nuklear Iran.
"Dengan ucapan takziah kepada hero negara Palestin dan negara Islam umumnya dan juga pejuang barisan hadapan dan negara Iran yang mulia, pagi ini (Rabu) kediaman Dr. Ismail Haniyeh, ketua pejabat politik kumpulan pejuang Islam Hamas, telah diserang di Tehran," menurut kenyataan IRGC. "Berikutan serangan itu, beliau dan seorang daripada pengawal peribadinya telah mati syahid."
IRGC juga menambah mereka sedang mencari dan mengenal pasti punca kejadian tersebut dan keputusannya akan diumumkan kemudian.
Ismail Haniyeh merupakan seorang ketua politik kumpulan Hamas yang aktif mengadakan rundingan kepada gencatan senjata Israel-Hamas sejak baru-baru ini. Kematiannya dijangka memberi kesan ketara kepada penduduk Gaza yang berharap rundingan yang dipimpin boleh membawa kepada penamatan serangan yang berlaku sejak tahun lalu.
Sejak 2019, beliau dipercayai telah meninggalkan Gaza dan tinggal di Qatar. Pada hari kejadian, beliau berada di Iran untuk menghadiri upacara pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian, serta mengadakan pertemuan bersama Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) " Hamas’s political chief Ismail Haniyeh assassinated in Iran " — Aljazeera, 31 Julai 2024
- (Inggeris) " Hamas leader Ismail Haniyeh assassinated in Tehran, Iran says " — CBS News, 31 Julai 2024
- (Inggeris) Emma Graham-Harrison, Quique Kierszenbaum. " Hamas leader Ismail Haniyeh killed in raid on Iran residence, says Palestinian group " — The Guardian, 31 Julai 2024