Wn/ms/Pembukaan hospital medan baru di Rafah oleh Palang Merah
17 Mei 2024 (Jumaat)
Gaza - Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan rakan kongsi terlibat mengumumkan pembukaan sebuah hospital medan yang terletak di bahagian selatan Gaza pada Selasa dalam usaha untuk memenuhi permintaan apa yang disebutkan sebagai "luar biasa" terhadap perkhidmatan kesihatan sejak operasi ketenteraan Israel bermula di Rafah minggu lepas.
Beberapa klinik kesihatan telah menggantung sementara operasi mereka sementara para pesakit dan kakitangan kesihatan melarikan diri dari hospital-hospital utama akibat daripada operasi pengeboman yang semakin meningkat dilakukan pihak ketenteraan Israel di bahagian selatan Gaza itu.
Terdapat saksi yang melaporkan serangan helikopter dan pertempuran di jalanan sekitar Rafah yang berterusan sehingga beratus-ratus penduduk melarikan diri bagi mengelak daripada menjadi mangsa pertempuran tersebut.
Menurut ICRC, hospital medan baru ini akan menyediakan perkhidmatan pembedahan kecemasan dan mampu mengendalikan jumlah pesakit yang ramai, serta perkhidmatan lain seperti penjagaan obstetrik dan ginekologi, penjagaan kesihatan ibu dan anak, penjagaan bayi yang baru lahir, pediatrik, selain klinik pesakit luar. Staf yang ditempatkan di hospital itu dijangka mampu merawat sehingga 200 orang pesakit setiap hari.
"Penduduk di Gaza bergelut untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang sangat diperlukan, antaranya disebabkan oleh jumlah permintaan yang luar biasa terhadap perkhidmatan kesihatan dan kurangnya fasiliti-fasiliti kesihatan yang masih beroperasi", demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Palang Merah. "Para doktor dan staf sokongan bekerja tanpa mengira waktu, namun kemampuan mereka mengendalikan jumlah pesakit sudah melebihi hadnya".
Populasi di Rafah kini meningkat kepada lebih 1.5 juta orang berbanding 280,000 penduduk sebelum berlakunya operasi pengeboman yang dijalankan tentera Israel.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 23 dari 39 buah hospital di Gaza tidak dapat berfungsi lagi dan sebahagian yang masih beroperasi menerima jumlah pesakit yang terlalu ramai sehinggakan perkhidmatan kesihatan yang baik tidak dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan rawatan.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "Palang Merah buka hospital medan di Rafah" — Berita Harian, 15 Mei 2024
- (Inggeris) "Red Cross sets up Rafah emergency field hospital" — Reuters, 14 Mei 2024
- (Inggeris) Ben Doherty dan Daniel Hurst. "Australian medics staffing new Red Cross hospital in Rafah as Israeli offensive intensifies" — The Guardian, 14 Mei 2024
- (Inggeris) "Red Cross sets up Rafah emergency field hospital" — Arab News, 14 Mei 2024