Wn/ms/Presiden Jokowi terima anugerah tertinggi dari Presiden Palestin, berjuang menuju kemerdekaan
19 Ogos 2024 (Isnin)
JAKARTA - Di atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan di Palestin, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dianugerahkan dengan penghargaan tertinggi oleh pemerintah Palestin dalam satu majlis di Istana Merdeka, Jakarta pada Isnin.
Utusan khas Presiden Palestin, Riyad Al Maliki menyampaikan anugerah "Grand Collar Order of the State of Palestine" kepada Jokowi sebelum mereka mengadakan pertemuan berkisarkan kepada komitmen Indonesia dalam memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
Menteri Luar, Retno Marsudi berkata anugerah tersebut disampaikan langsung daripada Presiden Mahmoud Abbas melalui utusannya. "Pegawai utusan (Al Maliki) menyampaikan anugerah tertinggi daripada Presiden Mahmoud Abbas kepada Presiden Jokowi atas sokongan konsisten Indonesia berjuang bersama-sama Palestin dalam usaha mencapai kemerdekaan," katanya.
Dalam pertemuan itu juga, Retno berkata Widodo mengulangi komitmen Indonesia dalam mendapatkan pengiktirafan penuh dari peringkat antarabangsa dan keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Al Maliki berkata anugerah itu merupakan simbol kepada usaha Presiden Jokowi dalam memperkukuhkan hubungan dua hala Indonesia-Palestin, selain mengeratkan lagi hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara dan sokongan Indonesia kepada hak Palestin di peringkat global.
Utusan itu juga membawa mesej dari Presiden Mahmoud Abbas yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Jokowi serta seluruh rakyat Indonesia di atas menyambut Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-79.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Anton Santoso. " Indonesia's Jokowi receives highest award from Palestinian govt " — ANTARA, 19 Ogos 2024
- (Indonesia) Taufik Ismail. "Presiden Mahmoud Abbas Anugerahi Jokowi 'Grand Collar Order of the State of Palestine'" — Tribun News, 19 Ogos 2024
- (Inggeris) Najla Nur Fauziyah. "Jokowi Receives Palestine's Highest Award for "Unwavering Support"" — Tempo.co, 19 Ogos 2024