Wn/ms/Parlimen luluskan rang undang-undang lindungi penderma akibat keracunan makanan
7 Ogos 2024 (Rabu)
SINGAPURA - Dewan Parlimen Singapura hari ini meluluskan rang undang-undang yang membabitkan perlindungan perundangan kepada penderma sumber makanan sekiranya berlaku insiden keracunan makanan.
Rang undang-undang The Good Samaritan Food Donation dibacakan kali kedua oleh Louis Ng Kok Kwang (PAP-Nee Soon) dan mendapat sokongan lebih dari 15 ahli Parlimen, termasuklah dari pembangkang Parti Buruh dan Parti Kemajuan Singapura.
Selain melindungi dari segi tindakan perundangan, rang itu juga menjadi pemangkin dalam mengurangkan jumlah sisa makanan di seluruh negara, sambil membantu rakyat yang memerlukan sumber makanan termasuklah dari golongan kurang berkemampuan dan warga emas.
Namun begitu, terdapat beberapa pra-syarat bagi penderma seperti memastikan sumber makanan yang ingin diderma itu dalam keadaan baik, memaklumkan kepada penerima akan tarikh luput dan cara mengendalikan makanan itu dan telah mengambil langkah yang munasabah dalam mematuhi keperluan keselamatan makanan seperti yang telah digariskan.
Ujar Ng, rang itu tidak akan menjejaskan kuasa yang telah diberi kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam menyiasat insiden yang melibatkan keselamatan makanan. "Jika terdapat insiden keselamatan makanan yang melibatkan sumber makanan yang diderma, SFA masih lagi boleh menyiasat dan mengambil tindakan yang sepatutnya," katanya.
Tambahnya, penderma hanya perlu mengemukakan bukti kukuh di mana mereka telah memenuhi kesemua pra-syarat yang ditetapkan kepada SFA. Jika terbukti tiada kecuaian dari penderma, SFA boleh melepaskan mereka daripada apa-apa pertuduhan.
Untuk rekod, dianggarkan sebanyak 750,000 tan sisa makanan terkumpul setiap tahun selama lima tahun. Sisa makanan yang terkumpul membentuk kira-kira 11 peratus daripada jumlah sisa di Singapura dan ia memberi kesan kepada sistem pelupusan sampah negara. Dengan rang undang-undang baharu ini, Ng berharap lebih ramai penderma sama ada individu atau syarikat tidak berasa ragu-ragu untuk menderma sumber makanan yang tidak digunakan, dengan mematuhi pra-syarat yang telah ditetapkan.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Koh Wan Ting, Vanessa Lim. " Singapore passes law aiming to reduce food waste and encourage donations " — CNA, 7 Ogos 2024
- (Inggeris) Shabana Begum. " Eateries and charities can soon donate unsold food without worry if safety rules are met " — The Straits Times, 7 Ogos 2024