Wn/ms/Lahir anak di Singapura, ibu bapa bekerja bakal nikmati cuti panjang sehingga 30 minggu
19 Ogos 2024 (Isnin)
SINGAPURA - Sejumlah 30 minggu atau 7.5 bulan cuti diperuntukkan untuk ibu bapa yang akan menimang cahaya mata apabila skim baharu itu berkuatkuasa sepenuhnya bermula 1 April 2026, naik 10 minggu berbanding skim sedia ada.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong semasa berucap sempena Perhimpunan Hari Kebangsaan pada Ahad. Di bawah skim baharu, pasangan bekerja akan diberikan cuti tambahan sebanyak 10 minggu yang dibayar kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan sokongan kukuh kepada ibu bapa yang memerlukan masa menjaga bayi mereka.
Selain itu, kerajaan juga menambah cuti paterniti yang sebelum ini sebanyak dua minggu kepada empat minggu. Menurut Wong, seorang bapa haruslah memainkan peranan lebih besar dalam menguruskan hal rumah tangga. "Kaum wanita masa kini memiliki banyak peluang untuk berjaya dalam kerjaya mereka," katanya. "Mustahil bagi mereka mengejar matlamat itu di mana beban lebih berat dipikul mereka dalam tanggungjawab membesarkan anak-anak dan menguruskan rumah. Jadi, seorang ayah perlu memainkan peranan lebih besar."
Tambah Wong, cuti bersalin di bawah skim baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai memberi masa kepada majikan untuk menyelaras polisi itu. Bermula 1 April 2025, sebanyak enam minggu cuti diperuntukkan yang dibahagi secara sama rata pada asalnya, menjadikan tiga minggu cuti bakal dinikmati ibu bapa. Bermula 1 April 2026 pula, sebanyak 10 minggu cuti yang dibahagi kepada ibu dan bapa.
Sedikit kiraan, di bawah skim baharu, cuti paterniti akan diberi kepada bapa yang sudah berkahwin sebanyak empat minggu. Cuti bersalin (materniti) pula diberikan kepada ibu selama 16 minggu, ditambah dengan 10 minggu yang dikongsi bersama (5 minggu untuk ibu dan 5 minggu lagi untuk bapa), menjadikan jumlah sebanyak 30 minggu.
Pekerja yang ingin membuat perubahan dari segi bilangan hari cuti berbanding bilangan asal perlu memaklumkan kepada majikan mereka dalam masa empat minggu selepas bayi mereka dilahirkan. Jika melepasi tempoh tersebut, pekerja hanya boleh melakukan perubahan tertakluk kepada kebenaran majikan.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Vanessa Lim. " NDR 2024: Parents of newborns to get extra 10 weeks of shared leave; total paid leave to increase to 7.5 months " — CNA, 18 Ogos 2024
- (Inggeris) Shermaine Ang. " NDR 2024: 10 extra weeks of shared parental leave; total of 30 weeks for parents by April 2026 " — The Straits Times, 18 Ogos 2024
- (Melayu) "NDR 2024: 4 minggu cuti paterniti diwajibkan mulai April 2025, tambahan 10 minggu cuti ibu bapa dikongsi" — Berita MediaCorp, 18 Ogos 2024