Wn/ms/Nasruddin dilantik sebagai YDP YADIM, selepas Nik Omar letak jawatan

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > Nasruddin dilantik sebagai YDP YADIM, selepas Nik Omar letak jawatan

16 Julai 2020 (Khamis)


PUTRAJAYA - Ahli politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Nasruddin Hassan Tantawi telah dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, bagi menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz yang telah meletakkan jawatannya semalam.

File:Logoyadim (2).jpg
Logo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pelantikan Nasruddin ⁣berkuat kuasa hari ini.⁣

“Saya menerima kunjungan YBhg. Ustaz Haji Nasruddin Hasan, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan ⁣Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang baharu, berkuat kuasa pada hari ini,” katanya melalui sebuah hantaran di laman Facebook beliau.

Terdahulu, Nik Omar yang juga merupakan seorang ahli politik daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) telah meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua YADIM berkuat kuasa semalam, setelah hampir dua tahun menjawat jawatan tersebut.

"Adalah dimaklumkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya berkhidmat di YADIM ... Di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua kakitangan YADIM atas kerjasama dan bantuan yang diberikan," katanya melalui sebuah kenyataan kelmarin.

Pada 14 Disember 2018, YADIM mengumumkan pelantikan Nik Omar bagi menggantikan Dr. Yusri bin Mohamad yang menamatkan tempoh jawatannya sebagai Yang Dipertua YADIM pada 31 Oktober tahun itu.

Sumber[edit | edit source]