Wn/ms/NASA berkata objek yang terhempas di Florida adalah dari Stesen Angkasa Antarabangsa

From Wikimedia Incubator
< Wn‎ | ms
Wn > ms > NASA berkata objek yang terhempas di Florida adalah dari Stesen Angkasa Antarabangsa

2 April 2024 (Selasa)


Florida - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengesahkan pada Isnin lepas objek yang terhempas di sebuah rumah penduduk dekat Naples di Florida, Amerika Syarikat bulan lepas berasal dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Khususnya, objek itu dikenalpasti sebagai "besi jerjak daripada pesawat sokongan NASA yang digunakan untuk melekapkan bateri pada palet kargo."

Objek angkasa (sebelah kanan) yang terhempas di sebuah rumah di Naples. Imej oleh NASA.

Palet yang membawa bateri nikel-hidrida lama telah dilepaskan dari ISS pada 11 Mac 2021, selepas bateri baru dipasang. Kargo itu mengorbit Bumi selama lebih kurang tiga tahun sebelum ia memasuki atmosfera Bumi pada 8 Mac. NASA menjangkakan kargo seberat 5,800 paun (~2,631 kilogram) ini akan hancur sepenuhnya di kawasan atmosfera, namun serpihan dengan berat 1.6 paun (~726 gram) itu tidak musnah dan terhempas pada jam 2:34 petang waktu tempatan. Impak itu menyebabkan kerosakan harta benda namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemilik rumah, Alejandro Otero tidak berada di dalam rumah semasa serpihan itu terhempas, tetapi hentaman boleh didengari dari kamera litar tertutup Google Nest. Menurut Otero, impak itu mengeluarkan "bunyi yang luar biasa" dan hampir mengenai anaknya. Selepas melihat ciapan angkasawan Jonathan McDowell di laman X tentang palet dan kandungan sudah memasuki atmosfera Bumi, Otero membalasnya dengan mengatakan serpihan itu telah menembusi dua tingkat setelah ianya terhempas di rumahnya. NASA mendapatkan serpihan itu dari Otero sebelum melakukan analisis ke atasnya di Pusat Angkasa Kennedy.

NASA berkata pakar mereka akan mengenalpasti bagaimana serpihan itu terselamat.


Sources[edit | edit source]