Wn/ms/Menteri lawat PlayStation Studios Malaysia, terapkan peluang tonjolkan bakat tempatan
25 Julai 2024 (Khamis)
KUALA LUMPUR - Menteri Digital, Gobind Singh Deo melakukan lawatan kerja ke pejabat PlayStation Studios Malaysia di Petaling Jaya semalam. Beliau turut mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil studio.
Menurutnya, pertemuan itu memfokuskan tentang penglibatan bakat tempatan dalam membangunkan seni kreatif, selain meningkatkan kemudahan infrastruktur dan teknologi. "80 peratus daripada keseluruhan 78 kakitangan di PlayStation Studio Malaysia ini merupakan warga Malaysia," katanya. "Bakat mereka dapat dilihat menerusi pembangunan permainan video seperti Marvel Spider-Man 2 dan The Last of Us Part II Remastered".
Tambahnya, penglibatan bakat tempatan dalam beberapa projek AAA di peringkat global membuktikan keupayaan mereka dalam menghasilkan seni kreativiti dan menonjolkan kemahiran seni visual. Beliau juga turut menyentuh mengenai liputan peluang yang lebih meluas dalam ekosistem permainan video di Malaysia secara keseluruhan.
Dalam lawatan itu juga, Gobind turut meninjau sekitar studio apabila beliau berpeluang melihat sendiri bagaimana sesebuah grafik karakter dibangunkan, selain diberi taklimat oleh kakitangan studio. Turut hadir ialah Luis Villegas, Ketua Teknologi, Kreatif dan Perkhidmatan PlayStation, Neil Ingram, Pengarah Senior Seni Visual PlayStation Studios dan Hasnul Hadi Samsudin, Ketua PlayStation Studios Malaysia.
Untuk rekod, PlayStation Studio Malaysia ditubuhkan pada 2020 dan merupakan antara studio terbaru yang ditubuhkan sendiri oleh Sony. Studio itu bertindak sebagai sokongan dalam membangunkan grafik untuk model karakter dan aset visual lain, serta terlibat dalam penghasilan seni motion capture untuk permainan video yang diterbitkan di bawah PlayStation Studio.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) "Post by Gobind Singh Deo" — LinkedIn, 23 Julai 2024
- (Inggeris) Daniel Robson. " How PlayStation Studios Malaysia is Playing a Growing Role in Sony's Most Important Franchises " — IGN, 11 Oktober 2022