Wn/ms/KPT gerakkan aktiviti program sastera, pupuk minat dari kalangan pelajar
13 Julai 2024 (Sabtu)
KUALA LUMPUR - Dalam usaha mempergiatkan kembali program kesusasteraan di peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperuntukkan sejumlah dana bagi melaksanakan aktiviti berkenaan di institut pengajian tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata KPT akan menggerakkan kembali program dan pertandingan seumpamanya dengan menawarkan hadiah yang lebih menarik dalam melahirkan generasi yang menghargai nilai kesusasteraan dalam sesebuah masyarakat.
"Saya telah minta Datuk Seri Dr. Zaini Ujang Galas (Ketua Setiausaha) untuk menggerakkan kembali program-program di peringkat kampus, mungkin boleh anjurkan sayembara atau puisi," katanya. "Serta tawarkan hadiah yang lebih menarik yang kita akan umumkan nanti berapa nilainya yang dapat menarik perhatian semuanya."
Ujar beliau, aktiviti berkaitan kesusasteraan pernah dianjurkan di beberapa institut pengajian tinggi sebelum ini, namun terdapat kekangan dari segi tawaran habuan yang tidak seberapa serta kurangnya sokongan berterusan dalam pelaksanaan program berkaitan.
Selain itu, Dr Zambry juga menyatakan komitmen beliau dalam mengadakan aktiviti berkaitan puisi dan lagu rakyat (purlara) sebagai sebahagian daripada program kesusasteraan yang akan dianjurkan di peringkat pengajian tinggi.
"Saya yakin, generasi ini meskipun kita mengatakan bahawa mereka ini jauh tersimpang daripada susur galur masyarakatnya, mungkin masyarakat pada masa ini tidak lagi menggunakan bahasa puitis dalam kehidupan mereka. Namun, yang menarik perhatian saya adalah ketika Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan baru-baru ini, saya melihat anak muda berbaris membeli novel dan buku yang dikarang oleh pengarang tempatan."
"Maknanya ada kecenderungan mereka ini membaca hasil-hasil kesusasteraan hasil dari aktiviti masyarakat baru yang suka menulis," tambahnya.
Sumber
[edit | edit source]- (Melayu) "KPT peruntuk RM50,000 anjur aktiviti kesusasteraan" — Buletin TV3, 13 Julai 2024
- (Melayu) "KPT peruntuk RM50,000 anjur aktiviti kesusasteraan" — Astro Awani, 12 Julai 2024
- (Melayu) "KPT PERUNTUK RM50,000 ANJUR AKTIVITI KESUSASTERAAN" — Bernama, 12 Julai 2024