Wn/ms/Google bakal membangunkan pusat data pertamanya di Selangor
30 Mei 2024 (Khamis)
Google bakal membangunkan pusat data pertama mereka di Malaysia dengan pelaburan sebanyak RM9.4 bilion telah dimuktamadkan hari ini. Pelaburan itu dijangka bakal menawarkan sehingga 26,500 peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor, termasuklah kesihatan, pendidikan dan kewangan.
Menurut Farhan S. Qureshi, Pengarah Urusan Google Malaysia, pembangunan pusat data Google pertama di Malaysia itu akan dibina di Taman Perindustrian Elmina yang dikendalikan oleh Sime Darby Property. Pusat data itu juga akan berfungsi sebagai sebahagian daripada lokasi Google Cloud yang terdiri daripada 40 lokasi dan 121 zon di seluruh dunia.
"Pusat data Google ini akan memperkasakan perkhidmatan popular kami seperti Search, Maps dan Workspace, yang digunakan oleh berjuta-juta pengguna di seluruh dunia, termasuklah pengguna di Malaysia. Lebih penting, ianya akan memacu penyampaian kuasa transformasi AI kepada pengguna dan pelanggan di seluruh negara," kata Farhan menerusi hantaran di blog rasmi Google.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pelaburan terkini Google di Malaysia itu bakal mengorak langkah dengan cepat berkaitan dengan pendigitalan yang telah digariskan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). "Kami juga mengalu-alukan rancangan Google untuk membantu dalam membangunkan ekosistem bakat-bakat tempatan dengan menyediakan persekitaran yang akan meningkatkan lagi kemahiran digital, bisnes dan pekerjaan kepada rakyat," katanya.
Untuk rekod, selain Google, Microsoft juga sebelum ini pernah mengumumkan pelaburan berjumlah $2.2 juta di Malaysia bagi pembangunan infrastruktur berkaitan AI dan pengkomputeran awan. Menurut penganalisis, permintaan terhadap teknologi AI dilihat semakin berkembang di pasaran Asia Tenggara dan syarikat-syarikat besar seperti Google, Microsoft dan Amazon ingin memanfaatkan permintaan ini dengan pelaburan besar bagi membina infrastruktur yang diperlukan untuk menyimpan data-data yang akan digunakan model AI supaya ia menjadi lebih efisien dan cekap.
Sumber
[edit | edit source]- (Inggeris) Sheila Chiang. " Google to invest $2 billion in Malaysia and build data center to capture rising AI demand " — CNBC, 30 Mei 2024
- (Inggeris) Farhan S. Qureshi. " Advancing Malaysia Together: Google's US$2 Billion Investment to Power Malaysia's Digital Future " — Google Blog, 30 Mei 2024
- (Inggeris) " Google announces $2bn investment in Malaysia, as gov’t hails 26,500 jobs " — Aljazeera, 30 April 2024
- (Inggeris) Azanis Shahila Aman. " Miti: Google to invest RM9.4b for first Google data centre, Google Cloud region in Malaysia " — New Straits Times, 30 Mei 2024